Movie: The Social Network
Assalamualaikum dan salam pagi jumaat kepada semua,
malam semalam meluangkan masa bersama isteri untuk menonton sebuah filem yang berkaitan dengan laman sosial terkenal, facebook. Tajuk filem yang diberi nama The Social Network ini menjadi pilihan untuk ditonton malam tadi, sememangnya pada permulaan cerita aku agak terkaku disebabkan pertuturan yang sangat laju oleh watak utama dalam cerita ini. Mujur aku telah memuat turun sarikata english untuk membantu memahami dengan lebih lagi setiap butiran yang diperkatakan.
Cerita ini boleh mengajar kita pelbagai perkara dalam kehidupan, banyak contoh-contoh kejadian yang kita boleh jadikan panduan untuk digunakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Namun kita tidak bolehlah menonton dengan membuta tuli tanpa menilai setiap kejadian atau babak yang dipersembahkan dalam filem ini untuk mendapatkan pengajaran yang menarik bagi aku dalam filem ini. Menonton filem ini juga membuka minda aku kepada sesuatu yang baru, mungkin untuk orang lain ianya sekadar filem yang seronok ditonton, tetapi disebabkan aku sebagai seorang pengaturcara bebas yang sedang cuba untuk melebarkan sayap, sedikit sebanyak, filem ini memberi idea dan sudut pandangan yang lain untuk aku teliti.
Filem ini agak panjang, walaupun pada pertengahan cerita, agak sukar untuk memahami kerana babak yang sering bertukar, namun jika menonton sehingga ke akhir, anda akan dapat memahami isi perjalanan cerita tersebut. Sebuah filem yang menceritakan bagaimana facebook telah dibangunkan dan bagaimana terdapat kesulitan dan pelbagai lagi perkara menarik dalam proses tersebut. Walaupun filem ini telah ditokok tambah untuk menjadikannya lebih dramatik, tetapi sedikit sebanyak, ia adalah sebahagian daripada cerita bagaimana facebook diasaskan. Selamat menonton semua
