Kualiti kereta proton dipertikaikan?
Assalamualaikum dan selamat hari jumaat,
mood menulis masih belum rancak seperti sebelum ini, banyak perkara yang ingin dicoretkan, tetapi jari-jemari acapkali kaku apabila menyentuh papan kekunci ini. Kali ini sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pendapat mengenai kereta Proton. Sejak pelancaran proton prevé dan seperti juga pelancaran-pelancaran model proton yang lain, rungutan, kejian, pandangan negatif ke atas jenama Proton memang tidak pernah lekang daripada komen-komen yang dilontarkan. Namun tidak kurang juga pujian yang diberikan kepada mereka yang nampak usaha gigih yang dilakukan oleh pihak Proton.
Aku juga adalah pengguna kereta Proton, kereta pertama aku yang dibeli 2nd hand adalah model proton iswara aeroback (ramai menggelar sebagai kereta kebal). Disebabkan kereta 2nd hand, ada beberapa aksesori yang sudah lusuh, namun begitu, kereta tersebut tetap gagah untuk berulang alik dari kelantan ke kuala lumpur, tak kurang juga tempat-tempat lain seperti perlis, johor, terengganu dan banyak lagi lokasi yang jaraknya beratus kilometer.
Ia merupakan antara kereta yang mudah dijaga bagi aku, kos maintenance juga tidaklah tinggi, kereta pun alhamdulillah setakat ni tak pernah meragam seperti yang seringkali diwar-warkan oleh ramai pengguna lain. Aku bukanlah ingin menyokong secara membuta tuli, ini sekadar perkongsian pengalaman sebagai pengguna kereta Proton. Selain kereta iswara itu, kereta kedua dari Proton adalah dari model Savvy. Kereta kompak yang sangat jimat minyak ini adalah kereta utama yang digunakan sekarang. Pasti ramai pengguna Savvy yang pening kepala disebabkan kos alat gantian yang sangat mahal disebabkan kebanyakan komponennya adalah dari jenama renault.
Namun begitu, aku bersyukur kerana Proton Savvy aku juga tidak pernah meragam, sekadar kerosakan kecil yang memerlukan kos yang sedikit. Sudah menjadi adat barangan atau mesin yang sering digunakan pasti ada barang-barang yang akan rosak atau haus digunakan. Sedangkan mesin yang harga berjuta pun perlu digantikan komponen-komponen tertentu, inikan pula kereta yang berharga puluhan ribu sahaja.
Apa yang aku ingin kongsikan di sini adalah cara penjagaan. Proton telah menyediakan buku panduan servis yang lengkap untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Namun berapa ramai yang mengikuti jadual yang telah dicadangkan itu? Ramai yang mengambil langkah mudah dengan pergi ke bengkel biasa untuk menukar minyak hitam sahaja dan membiarkan komponen-komponen lain tidak berganti, tujuannya untuk berjimat cermat. Dan hasilnya adalah komponen-komponen tersebut digunakan dalam tempoh yang lebih lama dari tempoh selesa yang dicadangkan. Ini akan menyebabkan kereta tersebut akan lebih cepat bermasalah setelah beberapa tahun digunakan.
Mungkin ramai yang akan melenting mengatakan banyak komponen tersebut minta diganti hanya kerana Proton inginkan untung lebih, walhal semuanya telah dikaji sebelum jadual servis itu dikeluarkan. Kereta Savvy aku memang mengikuti jadual servis itu sehingga sekarang, setakat ini, tiada masalah besar yang dialami, kereta sudah menjangkau 4 tahun digunakan, ramai rakan-rakan lain yang sudah beralih arah dengan bertukar kepada model proton yang lain atau jenama kereta yang lain. Aku setakat ini masih setia kerana kereta ini memang bagus bagi aku, pemanduan di jalan berselekoh amatlah baik, ditambah dengan penggunaan minyak yang amat menjimatkan.
Jika aku ingin menukar kereta Savvy ini bukanlah kerana prestasi kereta, tetapi kerana ruangan letak barangnya yang agak kecil. Sekiranya ingin mengangkut barang yang banyak dan penumpang yang ramai, Savvy bukanlah kereta terbaik untuk tujuan itu. Apapun, usahlah kita asyik nak menyalahkan pembuat kereta (walau apa jenama sekalipun), kerana jika kita sebagai pengguna tidak menjaga dan memandu dengan baik, kereta mahal seperti BMW juga boleh tersadai di tepi jalan akibat kelalaian dan sikap kita sendiri.