Anda suka memasak, tetapi sibuk dengan kerjaya?
Assalamualaikum dan selamat hari ahad semua,
nampaknya sudah masuk hari kedua tahun 2011, semalam seharian sibuk dengan kerja jer, selain mengemaskini senarai rss dalam aku nyer reader, tak kurang juga membuat lawatan sambil membaca di beberapa blog rakan-rakan yang sudah lama aku tak sempat menjengah, kebanyakannya adalah disebabkan RSS reader aku sebelum ni tidak memaparkan update2 terbaru pada setiap blog yang aku subscribe, di harap RSS reader terbaru yang aku guna ini akan dapat menampung keperluan aku untuk membaca semua rss yang dilanggan.
Hari ini aku ingin berkongsi sedikit tips berkaitan dengan memasak, terutama untuk mereka yang sibuk dengan kerjaya seharian, tetapi masih ingin memasak di rumah. Sudah lama rasanya aku tidak menulis artikel berkaitan dengan makanan atau masakan, harini mari kita lihat beberapa tips yang akan menjimatkan masa untuk anda memasak.
Kupas bawang dan simpan di dalam peti sejuk
Perkara ini mungkin jarang yang dilakukan oleh para tukang masak, tetapi apa yang boleh anda lakukan, pada hujung minggu, anda kupas semua bawang yang anda ingin gunakan, letakkan dalam bekas yang bertutup dan kemudian simpan di dalam peti sejuk, selain ianya memudahkan anda untuk memasak, bawang tersebut akan lambat rosak jika dibandingkan jika anda menyimpannya di dalam bakul bawang anda seperti biasa, ini akan mempercepatkan proses masakan, kerana tidak perlu lagi mengupas bawang sebelum memasak, boleh terus memanaskan kuali untuk menumis.
Sediakan cili kisar yang secukupnya
Jika anda seorang yang gemar untuk menggunakan cili kisar untuk masakan, adalah lebih mudah jika anda kisar cili tersebut dalam kuantiti yang banyak, dan simpan di dalam peti sejuk. Walaupun mungkin selepas beberapa hari, struktur cili kisar itu agak berlainan jika dibandingkan dengan cili yang dikisar segar, rasanya masih sama insyaALLAH, bergantung kepada cara anda memasak hidangan tersebut.
Santan kotak vs santan perahan segar
Suatu masa dahulu, mungkin sukar untuk mendapatkan santan kotak, tetapi kini banyak santan pekat di dalam kotak, ada kotak besar dan ada juga kotak kecil. Walaupun ramai yang akan mengatakan santan perahan segar itu lebih wangi, tetapi dari segi rasa, perbezaan tidak ketara. Kelebihan menggunakan santan kotak, anda boleh membeli dalam kuantiti yang banyak, dan ianya lambat rosak, jika dibandingkan dengan santan segar, anda tidak boleh menyimpannya terlalu lama, nanti akan basi. Jika kehidupan anda seorang yang sibuk, pasti kurang masa untuk singgah ke kedai untuk membeli kelapa yang sudah diparut, atau santan segar yang di pek mengikut tempahan. Jadi santan kotak ini boleh dijadikan pengganti untuk menjimatkan masa anda.
Rancang menu anda
Akhir sekali, adalah untuk merancang menu yang anda ingin masak untuk minggu mendatang, ini akan memudahkan anda untuk membeli semua bahan-bahan yang diperlukan semasa hujung minggu, rancang untuk 5 hari akan datang, anda mungkin hanya ingin memasak makan malam, senaraikan menu yang anda terfikir, kemudian beli barang-barang yang diperlukan, ini akan menjimatkan masa anda untuk pergi ke kedai setiap kali, selain itu jika ada masakan yang memerlukan persediaan yang lebih lama, seperti perlu menyediakan air rebusan daging dan sebagainya, anda boleh merebus terlebih dahulu dan menyimpan air rebusan itu untuk kegunaan pada hari bekerja nanti.
Semoga sedikit tips ini akan membolehkan anda memasak dengan lebih mudah dan cepat, sememangnya makanan yang di masak di rumah lebih berkualiti dan sedap jika dibandingkan dengan makanan di luar sana, kerana kita tidak tahu apa yang mereka guna seperti serbuk perasa berlebihan dan pelbagai lagi. Selamat memasak semua.
























