
Aidilfitri sering dikaitkan dengan juadah yang pelbagai dari lemang, ketupat, rendang, kuah kacang, kuih-muih, dan pelbagai lagi juadah yang enak-enak belaka. Seringkali selepas kita berpuasa sebulan, pada hari raya inilah kita akan dihidangkan dengan juadah yang jarang sekali dihidangkan pada hari² yang lain. Pada masa ini jugalah kita akan makan dengan bersungguh-sungguh kerana keenakan juadah tersebut dan juga kerana ianya jarang diperolehi.
Marilah sama-sama kita mengamalkan kesederhanaan yang dituntut dalam islam itu sendiri. Amalan pemakanan yang sederhana ini adalah penting untuk memberikan kita kehidupan yang lebih sihat. Pada hari-hari perayaan ini, cubalah untuk tidak mengikut nafsu makan kita. Tips 20 minit penantian adalah sesuai untuk perayaan seperti ini. Bagaimanakah “20 minit penantian” ini boleh membantu kita untuk mengawal nafsu kita?
“20 minit penantian” ini adalah tempoh masa penantian untuk hidangan seterusnya. Contohnya kita menikmati hidangan ketupat bersama rendang di dalam pinggan. Selepas itu kita teringin pula untuk mencuba hidangan yang lain dengan alasan jarang diperolehi. Sebelum kita meneruskan dengan hidangan lain. Tunggulah selama 20 minit, kerana kebiasaannya hidangan ketupat bersama rendang tersebut sememangnya telah memberi kekenyangan yang secukupnya kepada kita. Justeru itu selepas 20 minit kita menunggu kebiasaanya kita akan sedar bahawa kita telah kenyang.
Mungkin ada yang akan mengatakan, “rugilah… juadah lain tu bukan selalu boleh makan”, tapi kita perlu ingat bahawa bukanlah sekali itu sahaja kita boleh menjamu selera. Dari pagi hingga ke petang kita mempunyai masa yang mencukupi. Jikalau kita ingin merasa semua juadah, ambilah dalam kuantiti yang sedikit untuk setiap juadah. Supaya kita tidak mengambil makanan secara berlebihan.
Selain itu, kebanyakan juadah di hari raya ini mengandungi kandungan kolesterol. kanji, lemak dan sebagainya yang sangat tinggi. Seperti rendang yang menggunakan kerisik, santan dan sebagainya. Sehubungan itu kita perlu mengawal pemakanan kita supaya ianya tidak memudaratkan. Perayaan ini memang sekali setahun, namun kesihatan kita hanya sekali sepanjang hayat.
Semoga hari raya kali ini akan memberikan sinar baru dalam kehidupan kita. Selamat hari raya semua…