Assalamualaikum dan salam 1Malaysia semua,
cerita ini adalah untuk menyahut sahutan dari abg Rohaizad untuk menulis artikel dengan tajuk yang sama, tapi semestinya setiap cerita ada kisah yang berbeza. Begitu jugalah yang akan dikongsikan di sini. Kejadian yang berlaku suatu masa dahulu ini merupakan perkara yang tidak selalu aku kongsikan bersama yang lain.
Di suatu pagi yang indah, angin sepoi-sepoi bertiup, mukaku terasa segar dan nyaman, mentari masih belum menyinar sepenuhnya dan aku termenung sendirian di atas pohon kayu di tepi pantai yang begitu indah permandangannya. Aku bermonolog sendirian, terlalu banyak perkara yang singgah di minda di pagi itu, segalanya seperti tidak sabar untuk menerjah ruang fikiran sehinggakan aku berasa rimas dan lemas dengan diriku sendiri. Sudah lama tidak berehat seperti ini, ianya seperti mimpi indah yang menjadi kenyataan, aku bersyukur kerana diberi kesempatan untuk terus hidup dan menarik nafas di bumi Allah yang indah ini.

Sekadar gambar hiasan
Setelah sekian ketika aku duduk termenung sendirian, aku bangun dari tempat dudukku, aku berjalan di persisiran pantai, menjamah gigi air sambil berkaki ayam, setiap langkahku amat menenangkan jiwa yang sebelum ini serabut dengan segala kekusutan duniawi yang tidak aku pinta untuk datang menghiasi kehidupanku ini. Namun apakan daya, segalanya datang tanpa diundang, masalah sudah menjadi sebahagian daripada rencah kehidupan yang tidak dapat dipisahkan. Aku terkenang kembali peristiwa yang menghimpit kehidupanku, aku hidup sebagai pelarian di negera bukan tempat tumpah darahku, aku hidup dalam ketakutan, tersepit di dalam keadaan yang amat menyusahkan. Peristiwa yang terjadi sewaktu tahun akhir pengajianku, kegagalan aku dalam ujian lisan telah membuatkan segala-galanya berubah, permohonan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat master telah pun diluluskan, namun aku tidak dapat meneruskan hajatku disebabkan ujian lisan tersebut.
Atas sebab itu, aku tidak dapat memperbaharui Visa untuk membenarkan aku terus tinggal di negara asing itu, tinggal sebulan setengah lagi sebelum Visaku tamat, dalam pada kekusutan, aku masih terus berfikir untuk meneruskan kehidupan. Sebulan setengah berlalu dengan sekelip mata, dan kini aku hidup sebagai pendatang tanpa izin disebabkan tiada kebenaran sah yang aku miliki. Malam berganti siang, tidak lama kemudian, sepasang polis datang ke rumah lamaku yang diinapi oleh rakan-rakanku yang lain, mereka mencari aku disebabkan mereka tahu aku tidak mempunyai kebenaran untuk menginap di negara mereka. Namun pencarian mereka menemui jalan buntu, aku tidak dapat dikesan, namun kehidupanku sentiasa dalam ketakutan, setiap kali aku keluar ke mana-mana, mataku tidak pernah lekang dari melihat kelibat polis. Sedaya upaya aku cuba untuk melepaskan diri dari mereka, aku perlu pastikan diriku tidak ditangkap, tidak mahu rasanya diri ini meringkuk di dalam penjara, tidurku tidak selena sebelum ini, fikiranku sentiasa kusut.
Tidak cukup menjadi pelarian, masalah demi masalah berkunjung tiba seperti dipinta, bekalan elektrik rumahku terputus, tiada bekalan air panas, peralatan memasak juga tidak boleh digunakan, ianya merumitkan keadaanku. Kemudian laptopku, ruby pula membuat masalah, skrinnya terbakar atas kecuaian aku semasa mencucinya, begitu banyak perkara yang perlu aku selesaikan dalam satu masa, aku tersepit dengan masalah-masalah yang berpusu-pusu mengisi setiap ruang di dalam kehidupanku. Aku hampir berputus asa, terasa diri ini terlalu lemah untuk menghadapi segalanya, namun aku bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan yang sangat prihatin, mereka menghulurkan bantuan tanpa dipinta, syukur alhamdulillah. Minggu demi minggu berlalu, atas bantuan dari pelbagai pihak, aku berjaya memperbaharui Visaku, kini hidupku tidak lagi dihantui oleh polis yang memburuku seperti seorang pemangsa mencari mangsanya. Satu demi satu masalah dapat diatasi, namun kejadian ini memberikan kesan yang sangat besar kepada kehidupanku, aku tidak lagi seperti dahulu, terdapat kelainan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk digambar.
Aku meneruskan langkah menikmati air yang dipukul lembut oleh angin membentuk ombak-ombak kecil, sepertimana yang aku alami suatu masa dahulu, ombak-ombak ini adalah sebahagian daripada perkara yang perlu aku hadapi dalam kehidupan. Walaupun pada waktu itu, aku merasakan ombak yang menghiasi kehidupanku itu begitu besar, hakikatnya ia hanyalah ombak kecil yang datang untuk menduga kekuatan diri, lebih banyak liku-liku lain yang perlu di hadapi. Semoga aku tidak akan tersepit sekali lagi dengan keadaan seumpamanya, aku cuba untuk memperbaiki diri ini saban hari, kerana aku hanyalah seorang insan yang tidak lari dari melakukan kesilapan.