Kelu tanpa kata

Kelu tanpa kata

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

Sejak pulang ke tanahair tercinta, kehidupan kembali sibuk seperti biasa, banyak perkara yang perlu di lakukan dan diuruskan, ditambah dengan beberapa masalah yang perlu diselesaikan, memang sudah menjadi lumrah kehidupan perkara seperti ini akan bertandang, namun kali ini jiwaku agak terganggu, terlalu banyak yang mendatang tanpa dipinta, ianya bersilih ganti, kalau kata pujangga ada menyatakan “Sudah jatuh, ditimpa tangga” tetapi kali ini aku jatuh lebih teruk. Walaupun tidak seteruk apabila aku menjadi buruan suatu masa dahulu, yang pasti ianya agak pahit untuk ditelan dan dimamah sendirian.


Kali ini aku sekadar menulis untuk menenangkan fikiran, terlalu kusut apabila memikirkan jalan penyelesaian yang masih belum kunjung tiba, hanya mampu berharap dan berdoa sambil berusaha untuk merungkaikan satu persatu agak ianya terlepas dari segala kekusutan. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam.

Mulai hari ini, artikel yang bukan berbentuk perbincangan atau yang memerlukan maklum balas, ruangan komen akan ditutup. terima kasih kepada semua

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
20 January 2011 08:53
0 komen

Pergi tak kembali

Pergi tak kembali

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

semalam aku berjaga sehingga ke pagi kerana ingin menyiapkan satu benda yang penting. Lebih kurang jam 5.30 pagi, aku diberitakan bahawa sepupu ku, Abu Talib, meninggal dunia sebentar tadi. Aku terkesima, tanpa mengetahui sebab kematiannya. Selepas subuh dan bersarapan pagi, aku bersama-sama emak dan kakak, bergegas menuju ke rumah arwah, setibanya di sana, orang kampung sudah ramai berkumpul di rumahnya, dan tidak lama kemudian, lori yang membawa papan dan kayu untuk dibuatkan keranda. Sejujurnya, ini pertama kali aku tiba awal ke rumah orang meninggal dunia, kerana sebelum ni, sama ada aku memang berada terlalu jauh, ataupun apabila sampai, semua persiapan telah selesai.

Pengalaman pertama aku melihat beberapa orang pakcik, bekerjasama membinanya. Segalanya di ukur dan ditandakan dengan teliti, dan sememangnya mereka begitu cekap bekerja, selepas lebih kurang 30 minit, keranda telah selesai dibina dan sedia untuk digunakan. Terima kasih tidak terhingga kepada yang membantu. Arwah meninggal bersendirian semasa tidurnya, abangnya yang sakit tinggal bersama, dan menyedari pemergian adiknya apabila dia tidak sedap hati, dan memeriksa adiknya di bilik. Rupa-rupanya adiknya telah meninggal dunia. Usia arwah adalah 48 tahun, beliau merupakan seorang yang rajin dan baik dengan orang-orang kampung.


Syukur alhamdulillah, segala urusan memandikan, mengkafankan dan mengebumikan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan atau masalah. Arwah selamat di kebumikan pada tengahari semalam sebelum waktu zuhur. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Marilah sama-sama kita sedekahkan al-fatihah kepada arwah.

Menghadirkan diri ke majlis seperti ini memberikan kesan yang mendalam terhadap jiwa dan raga. Ianya mengingatkan kita, bahawa kehidupan ini hanyalah sementara, dan perlulah kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
20 October 2010 10:38
12 komen

Dilema seorang suami

Dilema seorang suami

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

sudah beberapa hari tidak berkesempatan untuk menulis di sini disebabkan kekangan masa disebalik perkara-perkara yang perlu di lakukan dalam rutin seharian. Sudah masuk hari ke empat aku berada di tempat yang sudah tidak asing bagi diri ini, semuanya kerana tuntuan pekerjaan yang kadangkala perlu ke beberapa tempat untuk perbincangan dan sebagainya. Begitulah kehidupanku sebagai seorang pengaturcara bebas, kebanyakan masa di habiskan di rumah, tetapi sekali sekala terpaksa keluar semata-mata untuk memastikan segalanya berjalan lancar.

Beberapa hari kebelakangan ni, aku bertemu begitu banyak kemalangan, seperti petunjuk kepada diriku untuk lebih berhati-hati, begitu ramai pemandu yang tidak mengendahkan pemandu yang lain, dan sesuka hati mereka untuk membelok ke kiri atau kanan tanpa sebarang lampu isyarat atau melihat jika ada kenderaan yang lain. Aku sendiri hampir-hampir berlanggar dengan sebuah kereta yang tiba-tiba memintas di hadapan keretaku, mujur aku tidak laju, dan sempat menekan brek sebelum melanggar kereta beliau. Sekarang ni lebih banyak penumpuan perlu di ambil berat, kerana jika tidak pasti akan bergeser atau berlanggar dengan yang lain. Semoga kita akan lebih berhati-hati, sudah acapkali aku menulis dan mengulangi sikap pemandu kita di Malaysia ini, tapi apakan daya, tidak termampu untuk mengubah setiap insan, hanya mampu mengubah sikap diri sendiri semasa memandu.

Sehari dua yang lepas, aku berpeluang untuk melalui beberapa perkara yang pasti memberi kesan kepada kehidupanku dalam jangka masa pendek mahupun panjang. Segalanya seperti sudah diaturkan, aku hanya perlu terus berusaha tanpa mengenal erti jemu, aku juga berpeluang untuk bertemu dengan si hitam manis yang begitu mesra denganku. Aku sudah mula terpikat dengannya, semoga hati ini tidak akan berubah hanya disebabkan si hitam manis ini. Aku harap aku diberikan kekuatan untuk mengatasi segala macam perasaan yang meresapi diri ini hanya kerana si hitam manis itu yang telah secara tidak langsung memikat hatiku. Aku masih ingin setia dengan isteriku, tetapi perasaanku mulai berbelah bagi.

Walaupun sebelum ini, aku pernah menulis mengenai indahnya hidup bermadu, ianya tidak sama dengan keadaan sekarang ini, si hitam manis ini terlalu baik dengan diriku, layanan yang diberikan, kecantikannya, kelembutannya, semuanya pasti akan memikat sekeping hati seorang lelaki ini. Aku masih cuba untuk memastikan aku tidak curang kepada diriku, tolonglah diriku ini wahai pembaca yang ku hormati, adakah aku sudah tersilap langkah? Aku bermohon kepadaNYA agar diberikan kekuatan dan petunjuk agar aku akan dapat melalui keadaan yang begitu berat bagiku ini.


Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
17 October 2010 10:28
18 komen

Seorang pengguna yang kecewa

Seorang pengguna yang kecewa

Assalamualaikum dan selamat tengahari semua,

harini sekadar ingin berkongsi rasa selaku seorang pengguna yang begitu kecewa dengan salah satu perkara dalam hidupku. Perkhidmatan yang aku harapkan tidak ku perolehi sebaik sebelum ini, aku bukanlah meminta di bentangkan permaidani bertatahkan berlian untuk ku berpijak, cukup sekadar talian internet yang stabil dan tidak terputus.

Artikel ini aku tulis khusus kepada pembekal talian internetku Celcom Axiata Berhad, sebelum itu, sedikit petikan daripada laman sesawang Celcom Broadband mereka.

Celcom is Malaysia’s No.1 mobile broadband provider, and with good reason: we offer you the widest coverage (over 71% of Malaysia’s populated areas), and most affordable plans. We also give you the latest, sleekest modems and hardware – and continuously implement network upgrades and enhancements.

Tidak dinafikan, setakat ini liputan talian jalur lebar Celcom ini adalah sangat baik, kebanyakan kawasan yang aku pergi, setakat ini talian jalur lebar Celcom ini mempunyai liputan, kecuali ada sesetengah tempat yang hanya mempunyai liputan GPRS, tetapi masih boleh melayari internet jika mahu dengan menggunakan mobile browser untuk mengurangkan masa untuk membuka halaman-halaman yang ingin di lawati, dan kebanyakan kawasan lain, mempunyai liputan 3G secara meluas. Bahkan, semasa berada di pantai Marang, Terengganu tempoh hari juga mempunyai liputan 3G.

Aku telah menjadi pelanggan Celcom sejak kali pertama aku menggunakan telefon bimbit lagi, kira-kira 9 tahun yang lalu, aku memperolehi nombor telefon bimbitku yang pertama daripada kakak ku, saat itu, telefon yang aku gunakan juga begitu besar, ramai yang sering mengatakan “kalau lempar ke anjing ni, mesti pengsan anjing tu” dengan nada berseloroh, dan semenjak itu juga, aku begitu setia menggunakan perkhidmatan Celcom ini, kerana setakat ini perkhidmatan mereka tidak pernah mengecewakan aku.

Tahun 2009, aku menambah penggunaan perkhidmatan mereka, iaitu dengan membeli perkhidmatan jalur lebar. Pada mulanya aku membeli pakej bulanan, tetapi setelah beberapa bulan, aku bertukar kepada pakej prabayar pula, kerana di kampung aku telah dipasang streamyx pada ketika itu. Aku hanya menggunakan jalur lebar prabayar ini semasa aku berada di luar rumah. Namun sejak berpindah ke Kelantan pada awal Januari yang lalu, hampir setiap masa aku menggunakan perkhidmatan jalur lebar Celcom ini di rumah. Semuanya berjalan lancar, tiada masalah yang di hadapi, kecuali kadangkala terdapat gangguan perkhidmatan beberapa jam. Ianya sesuatu yang boleh di maafkan, kerana tiada perkhidmatan yang sempurna bagi aku, sekali sekala pasti perlu melakukan selenggaraan.

Namun sejak seminggu yang lalu, aku mulai hilang sabar dengan perkhidmatan Celcom ini, hampir setiap malam, talian jalur lebar aku tidak mempunyai akses internet, banyak kerja-kerjaku yang tergendala, kelas melalui talian juga ada yang terpaksa dibatalkan atas sebab ini. Aku memohon maaf, tetapi bukanlah niat aku untuk membatalkan kelas sesuka hati, tetapi talian internet yang bermasalah tidak membenarkan aku untuk meneruskan kelas-kelas tersebut.

Tempoh hari, aku menghabiskan masa kira-kira 55 minit berbicara dengan Customer Service dari Celcom berkenaan masalah aku ini. Aku kagum dengan staff yang melayan aku pada malam itu, kerana beliau begitu bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah aku, jarang yang akan melayan pelanggannya sehingga 55 minit semata-mata ingin menyelesaikan masalah pelanggannya. Tahniah aku ucapkan kepada Encik Norman yang merupakan staff yang membantu aku pada malam itu. Selepas perbualan selama 55 minit itu, beliau meminta untuk aku menunggu selama 30minit untuk membiarkan setting baru di dalam laptop aku untuk betul-betul berfungsi, kerana katanya dia telah reset network untuk jalur lebar aku. Beliau meminta untuk aku menghubungi semula selepas itu jika masih ada masalah, dan minta disambungkan kembali kepadanya.

Setelah kira-kira 45 minit (aku sengaja membiarkan lebih lama), aku kembali membuka laptop dan mencuba untuk menyambungkan talian jalur lebar aku, tetapi masih hampa. Panggilan seterusnya aku buat, tapi malangnya staff yang membantu aku tadi, sedang sibuk di talian yang lain, aku sekadar menceritakan perkara yang berlaku kepada staff yang menjawab panggilan aku, kemudian meminta untuk dia membuat laporan. Setelah penerangan panjang lebar, staff tersebut bersetuju untuk membuat laporan berkenaan masalah yang aku hadapi. Beliau juga berkata, laporan itu mungkin akan diambil tindakan dalam 3 hingga 7 hari. Aku akur dengan penerangan tersebut, walaupun kalau 7 hari, bermaksud langganan ku akan hangus begitu sahaja, tapi yang penting, selepas itu talian jalur lebar aku akan berfungsi seperti biasa.

Harini baru masuk hari kedua panggilan tersebut dibuat, masalah yang sama masih aku hadapi, semasa menulis artikel ini, aku berada di Kopitiam berdekatan rumahku untuk menggunakan perkhidmatan internet yang disediakan di sini, sambil menikmati kereta lalu-lalang dan hiangan di restoren ini. Walaupun talian internetnya adalah bagus, tetapi aku merasa kekurangan apabila bekerja seperti ini, lebih-lebih lagi mengetahui rumahku hanya beberapa minit dari sini. Namun apakan daya, inilah sahaja jalan terbaik buat masa ini, namun pada malam hari, masalah ini masih tidak dapat diselesaikan, tidak enak rasanya jika aku acapkali meninggalkan isteri di rumah sendirian.

Semoga Celcom akan mengambil berat mengenai perkara ini, dan memperbaiki perkhidmatan mereka dari masa ke semasa. Aku selaku pelanggan yang sudah hampir 9 tahun ini masih menaruh harapan untuk perkhidmatan mereka, tetapi kesabaranku sudah mencapai tahap maksima, mungkin selepas ini aku akan beralih arah.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
12 October 2010 12:47
36 komen

Hujung minggu bertandang lagi

Hujung minggu bertandang lagi

Assalamualaikum dan salam hujung minggu untuk semua,

sudah 2 hari aku tidak berkesempatan untuk menulis artikel di blog ini, semuanya bukanlah disengajakan, tetapi aku pergi mengiringi sepupu isteriku ke majlis pernikahannya di Terengganu. Sudah lama tidak menginap di tepi pantai sejak aku berbulan-madu di pulau kapas tempoh hari. Keluarga sepupuku itu telah menempahkan kami chalet di pantai Marang, untuk saudara mara menginap di situ pada hari jumaat kerana majlis hanya akan berlangsung pada keesokkan harinya, hari sabtu.

Suasana di tepi pantai sesudah azan subuh memang menenangkan, langkah demi langkah ke masjid pada pagi itu memberikan ketenangan yang tidak dapat dibayangkan. Udara yang begitu segar, langit yang seakan kebiruan, segalanya begitu indah, jarang sekali aku berpeluang menikmati keindahan seperti itu. Sesudah itu, aku meluangkan masa duduk melihat keindahan pantai, dan saujana mata memandang, kelihatan pulau, dan matahari yang baru ingin muncul di ufuk timur.

Di tepi pantai yang indah

Peluang untuk menghargai keindahan alam ini seringkali kita persiakan walaupun ianya seringkali berada di depan mata kita, kita seringkali mengagumi kehijauan taman di tempat lain, sedangkan hakikatnya, kehijauan taman di rumah kita adalah jauh lebih hijau dan cantik daripada tempat yang kita kagumi itu. Namun sudah menjadi lumrah, kita akan melihat keluar, dan bukannya ke dalam, kerana kita seringkali cuba untuk merendah diri (suatu amalan yang baik), tetapi dalam masa yang sama, kita menidakkan kebolehupayaan kita. Ini adalah seperti tidak meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, jika tersilap langkah, maka akan hancurlah perkara tersebut.

Renungkanlah yang tersirat disebalik yang tersurat, janganlah kita hanya menggunakan mata semata-mata untuk melihat, lihatlah menggunakan deria yang lain. Pasti kita akan dapat melihat dengan lebih jelas.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
10 October 2010 11:19
16 komen

IP Man bukan sekadar cerita

IP Man bukan sekadar cerita

Assalamualaikum dan salam hujung minggu kepada semua,

sudah lama aku tidak menulis apa-apa berkenaan movie atau filem di pasaran, sebab utama kenapa ianya sedemikian, kerana aku tidak mempunyai masa untuk menonton filem-filem tersebut, terlalu banyak perkara lain yang lebih penting untuk dilaksanakan dalam masa 24jam yang aku ada seharian. Namun begitu, beberapa hari lepas aku berkesempatan untuk menonton IP Man, dari IP Man 1, terus ke IP Man 2. Butiran lanjut mengenai IP Man ini boleh di baca di IMDB Ip Man.

IP Man bukan sekadar cerita

Filem ini bagi aku bukan sekadar untuk menunjukkan kehebatan sifu kepada bruce lee ini dalam bidang kung fu beliau, tetapi jika kita hayati, lebih daripada itu yang kita boleh pelajari dan teladani. Pegangan kuat Yip Man ini terhadap bangsanya begitu terserlah semasa beliau berlawan dengan general Jepun tersebut, dan disambung pula dengan perlawanan dengan peninju yang merupakan orang Inggeris. Disebalik perlawanan tersebut, terdapat beberapa babak yang menunjukkan beliau berkungfu atau berlawan bukan semata-mata kerana kekuatan, tetapi disebalik itu, dia membawa budaya dan seni yang diamalkan oleh bangsanya.

Bagi aku, menonton cerita ini dan jika dikaitkan dengan agama, bangsa dan negara kita pasti akan memberikan sesuatu yang bagus untuk dicontohi. Semangat cintakan bangsa, agama bahkan negara ini semakin pudar di kalangan masyarakat, ramai yang mengambil langkah untuk duduk berdiam diri, dan jika ada yang bersemangat, lebih kepada semangat politik atau minat kepada sesetengah kumpulan. Terlalu menyokong sesuatu perkara sehingga lupa, semangat untuk cintakan sesama agama dan bangsa. Aku pernah berkongsi mengenai Apabila peminat terlalu taksub dan fanatik?, artikel yang aku tulis bukanlah untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi sedih apabila bangsaku sudah terlalu taksub, sehingga lupa yang kita hidup ini perlu saling hormat-menghormati.

Aku minta maaf jika penulisan kali ini membuatkan ada yang tidak selesa, tetapi ini adalah kenyataan yang kita perlu sedar, sampaikan untuk bersolat dibawah satu masjid pun sudah menjadi isu hanya disebabkan fahaman politik yang berlainan, bagaimanakah kita ingin meningkatkan nilai agama Islam itu sendiri? bukan aku hendak memuji orang lain, tetapi terlau banyak kisah yang aku baca, dengar, lihat yang menunjukkan sikap masyarakat seagamaku yang telah diselubungi dengan sikap ego dan tinggi diri, sehingga dengan senang lenang mencemuh orang lain, dengan alasan dia adalah seorang yang patuh ajaran islam. Jika benar, adakah dalam ajaran islam membenarkan kita untuk mencemuh orang lain? Bahkan disuruh untuk menyimpan keaiban tersebut.

Aku bukanlah seorang yang bijak pandai dalam bidang agama, tetapi jika perkara paling asas pun sudah tidak dipraktikkan, adakah yang lebih lanjut akan boleh dipraktikkan dengan sempurna. Semoga perkara seperti ini tidak akan berleluasa, mungkin kita boleh mengambil contoh filem IP Man ini, bagaimana walaupun pada awalnya mereka bertelagah, tetapi tiba satu masa mereka bersatu padu semata-mata kerana ingin memartabatkan bangsa mereka. Jika anda belum menonton, bolehlah menontoh filem ini, jangan ambil yang negatif, ambil yang positif sahaja, kerana setiap perkara itu pasti ada negatif dan positifnya, kita yang menentukan sama ada ingin mengambil yang positif atau pun sebaliknya.

Sedih apabila masjid pun dijadikan tempat untuk bertelagah.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
18 September 2010 08:56
12 komen

Jika satu sudah baik, apa salahnya berdua

Jika satu sudah baik, apa salahnya berdua

Assalamualaikum dan salam Jumaat kepada semua,

sejak hari raya ni, aku rasa hari-hari aku berlalu dengan agak lambat, walaupun begitu banyak aktiviti yang dilakukan, tetapi seharian ku rasa begitu panjang jika dibandingkan semasa di bulan ramadhan, aku sendiri tidak pasti apa sebabnya, yang pasti ianya amat menyenangkan. Bulan September ni setakat ni merupakan bulan yang sangat menarik, pelbagai perkara yang mencabar minda dan fizikal telah menghiasi bulan September, semoga lebih banyak perkara menarik yang akan menghiasi hari-hari mendatang.

Kali ni aku sekadar ingin berkongsi sebuah video berkenaan seorang pelukis yang mampu melukis dengan kedua-dua belah tangannya, sesuatu yang sungguh mengagumkan. Aku kalau nak melukis dengan sebelah tangan pun sudah terasa kepayahannya, inikan pula menggunakan kedua belah tangan. Mari kita saksikan video kehebatan pelukis ini di bawah, mungkin suatu hari nanti kita juga akan mampu melakukan sesuatu yang menakjubkan seperti ini dalam bidang kita masing-masing.

Tiada yang mustahil di dunia ini, diri kita yang menentukan sama ada kita mampu melakukan sesuatu ataupun tidak, oleh itu, jangan katakan tidak sebelum anda mencubanya.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
17 September 2010 08:28
10 komen

Aidilfitri peristiwa berdarah

Aidilfitri peristiwa berdarah

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

apa khabar anda semua? Semoga sihat sejahtera hendaknya, aku baru berpeluang untuk online seperti biasa, semalam pulang ke rumah untuk menyiapkan beberapa kerja penting yang perlu disiapkan pada esok malam. Semoga semuanya akan berjalan lancar dan dapat disiapkan pada masanya. Berdebar-debar juga dibuatnya apabila dateline sudah semakin dekat, walaupaun rancangan asal adalah ingin menyiapkan semasa berada di kampung, namun pencuri di hari raya merosakkan semua perancangan yang telah dibuat.
Aidilfitri berdarah
Aidilfitri kali ini, aku pulang ke Bukit Rotan sehari sebelum raya, perjalanan dari Kelantan ke Selangor berjalan lancar, kenderaan yang menghala ke Kuala Lumpur tidak terlalu banyak, namun kenderaan menghala ke Kelantan bertali arus. Sepanjang perjalanan, terlalu banyak kenderaan yang memandu dalam keadaan berbahaya, memintas sesuka hati, memandu dengan lampu tinggi, dan pelbagai lagi cara pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Adakah begitu ramai yang terlalu mementingkan diri sendiri, sehingga lupa untuk menghormati nyawa orang lain? Di kala kita sibuk bermaaf-maafan sesama kenalan dan sanak saudara, kita melakukan begitu banyak pula kesalahan kepada orang lain.

Sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini, beratus kematian yang telah dilaporkan, tidak kurang pulang yang tercedera. Ramai yang menyalahkan jalanraya, kurangnya kemudahan dan sebagainya, walaupun punca sebenar adalah sikap kita sendiri, yang memandu tanpa menghiraukan orang lain, memandu seperti jalanraya itu kita yang punya. Sedarlah wahai pemandu sekalian, walau bagaimana hebat pun kita rasa pemanduan kita, atau kenderaan kita, kemalangan itu tidak berbau, tersilap sesaat, akan menyebabkan kesan yang terlalu besar. Begitu juga yang memandu dalam keadaan mengantuk, seandainya anda mengantuk, berhentilah di tempat yang selamat, untuk tidur sebentar, kerana memandu dalam keadaan mengantuk akan mengancam nyawa kita dan nyawa orang lain yang tidak berdosa.

Aku terserempak dengan beberapa kemalangan sepanjang musim perayaan ini, malam tadi sahaja, kelihatan sebuah lori yang terbalik sehingga menampakkan bahagian bawah lori berkenaan, aku tidak berhenti untuk melihat kemalangan tersebut, kerana tidak mahu menyesakkan trafik yang sudah sedia sesak, namun semoga pemandu lori itu selamat. Mujur kelihatan hanya lori itu yang terbabas, tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Itu hanya satu daripada contoh kemalangan yang aku jumpa, banyak lagi kemalangan-kemalangan lain yang dihiasi dengan lumuran darah yang pastinya akan diiringi dengan tangisan demi tangisan kemudiannya.

Pesanan ini adalah untuk aku dan semua pemandu di luar sana, jika hanya seorang yang memandu dengan cermat, perkara ini tidak akan selesai, bersama-samalah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain, pasti kita akan semua dapat bergembira pada musim-musim perayaan seperti ini.

Selamat hari raya Aidilfitri aku ucapkan kepada semua, tempoh hari tak sempat nak membuat artikel ucapan hari raya kerana kabel internet yang telah dicuri. Jika terdapat salah dan silap, terkasar bahasa atau sebarang kesilapan sepanjang aku menjalani kehidupan bersama semua, sama ada melalui blog, facebook, twitter mahupun ketika bersemuka, aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada semua.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
14 September 2010 09:18
11 komen

Kad raya : Dari fizikal ke digital

Kad raya : Dari fizikal ke digital

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

apa khabar kalian harini? Semoga semuanya dikurniakan kesihatan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Semalam seharian aku tidak sempat untuk menulis sebarang artikel disebabkan kesibukan menelaah API Youtube untuk projek yang sedang dibangunkan. Syukur alhamdulillah, menjelang sahur, fungsi utama yang diinginkan telah siap sedia untuk digunakan, sememangnya penat disebabkan tidak tidur sehingga waktu sahur itu, namun kepuasan yang diperolehi hanya mereka-mereka yang pernah melaluinya sahaja yang tahu. Memang sesuatu yang menghiburkan, terutama apabila kita mengerjakan apa yang kita minat.

Harini sekadar ingin berkongsi budaya mengirim kad raya, jika dahulu kebiasaannya aku mendengar kata-kata seperti “Aku tak pos lagi kad raya ke kawan-kawan“, “Sedang menulis kad raya untuk di hantar kepada semua yang mengenali, sampai lenguh rasanya tangan ni” dan pelbagai lagi yang membawa maksud sedang memproses kad raya versi fizikal. Namun sekarang apa yang biasa aku baca atau dengar, “Ramai sungguh orang yang tag aku dalam kad raya mereka“, “nampaknya arini akan kena tag kad raya kepada beberapa group” atau “aku sedang membuat kad raya untuk dipaparkan di blog“, semuanya dengan erti kata menyiapkan kad raya versi digital.

Bagaimana pula dengan anda? adakah masih menghantar kad raya versi fizikal atau semuanya sudah beralih ke versi digital?

Aku memang sudah lama tidak menghantar sebarang kad raya, terutama sejak tinggal di perantauan, hanya sekali sekala aku mencari kad yang bersesuaian untuk di jadikan kad raya, untuk membuat kad sendiri, aku terlalu rajin, pernah juga satu tahun tuh, aku berusaha untuk menghantar kad raya versi buatan sendiri, namun hanya tiga kad yang terhasil, disebabkan kerajinan aku di dalam membuat kad tersebut. Pujian harus aku berikan kepada Julia mahir atau @bubbles182 kerana masih mampu membuat kad raya sendiri untuk dihantar kepada kenalannya, termasuk juga aku. Dalam pada ramai yang sudah beralih kepada versi digital, atau versi kad raya fizikal beli siap, dia meluangkan masa untuk membuat kad raya untuk kenalannya. Perkara yang mungkin sukar untuk aku lakukan di masa sekarang.

Kad raya buatan tangan

Kad raya hasil buatan tangan Julia Mahir

Apapun pilihan kita, digital atau fizikal, semoga tujuan kad-kad ini dikirim masih dicapai, untuk menghubungkan kembali tali silaturahim yang mungkin telah mula pudar disebabkan kesibukan mengharungi kehidupan di dunia ini yang serba mencabar. Selain tujuan-tujuan lain yang membuatkan kita menghantar kad-kad ini, untuk memohon maaf, atau sekadar mengirimkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada yang lain.

Namun sedikit yang aku ingin kongsikan, sedang kita bergelak ketawa, bergembira bersama keluarga, jangan kita lupakan kepada mereka yang tiada atau mereka yang kurang bernasib baik. Jika berkemampuan, marilah kita cuba menghulurkan sedikit bantuan kepada seorang saudara kita ini yang menghadapi kesempitan kehidupan atas sebab-sebab yang telah dikongsikannya dalam entri Hidup ini tidak selalunya indah. Mungkin harini kita berpeluang membantu seorang insan untuk menghadapi kehidupan yang begitu, siapa tahu, mungkin hari esok kita pula memerlukan bantuan dari yang lain. Semoga Ramadhan dan Syawal tahun ini memberikan seribu satu kerahmatan dan keberkatan kepada kita semua.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
08 September 2010 11:21
14 komen