Assalamualaikum dan selamat pagi semua,
syukur alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan di tahun baru islam ini, 2 tahun yang lepas, selepas isyak hari ini (2 muharam), adalah hari di mana aku dinikahkan bersama isteri tercinta. Terasa seperti baru sahaja melalui pengalaman yang begitu indah itu, dan semalam, aku melamar pasangan yang baru untuk menghiasi kehidupan seharian. Setelah begitu lama hanya hidup bermadu dua, kali ini pihak yang keempat pula mengisi ruangan kehidupan untuk menjadikan kehidupan bermadu tiga.
Malam tadi aku pergi ke KB Mall untuk menjemputnya pulang, setelah membuat perhitungan beberapa hari, pelbagai pihak aku tanya untuk mendapatkan pendapat, akhirnya aku membuat keputusan malam tadi untuk menjadikannya sebahagian daripada hidup aku. Kali ini aku beralih arah, bertukar selera, jika dahulunya hanya 12″, kali ini aku mencuba 14″ pula, model laptop keluaran ASUS yang menggunakan processor intel core i7 2670QM ini menjadi pilihan aku. Walaupun pada asalnya aku ingin melamar produk keluaran apple, tetapi apakan daya, sumber kewangan seperti tidak mengizinkan, ada beberapa perkara lain yang perlu di jadikan keutamaan.
Jika sebelum ini, semasa membeli ruby, aku melabur hampir RM6k untuk pembelian tersebut, kali ini, hanya separuh daripada jumlah ruby tersebut, tetapi yang pastinya, spesifikasi yang jauh lebih baik jika dibandingkan semasa membeli ruby kira-kira 4 tahun yang lalu. Laptop sudah menjadi kemestian dalam kehidupan aku sebagai seorang pengaturcara laman web, tanpa laptop atau komputer, pastinya akan pincang kehidupan sebagai seorang pengaturcara. Kita pendekkan cerita, laptop baru yang masih belum diberi nama ini telah bersedia menabur khidmat kepada aku untuk beberapa tahun yang seterusnya.
Sedikit spesifikasi laptop Asus ini, menggunakan pemprosesan quad core i7 2670QM, 8GB RAM, RADEON HD 6730M 2Gb, 750GB HDD, 14″ display dan usb 3.0. Terdapat banyak barangan percuma yang diberikan oleh penjual kepada aku semasa membeli laptop ini, antaranya adalah seperti dalam gambar di bawah.


Setakat ini aku berpuas hati dengan pembelian kali ini, percubaan melakukan beberapa rutin harian jauh lebih cepat disebabkan tidak perlu menunggu perisian untuk load dengan begitu lama seperti sebelum ini. Pembelian kali ini juga sebenarnya adalah tajaan daripada seseorang, aku bersyukur sejak dua menjak ini banyak tajaan yang diterima, semoga dimurahkan rezeki mereka semua dan dikurniakan keberkatan dan kemudahan dalam kehidupan.
Aku akan menulis lebih banyak ulasan mengenai laptop ini dalam artikel yang akan datang, setelah hampir 4 tahun tidak bertukar laptop, memang aku akui, aku seperti seorang yang tidak pernah berjumpa komputer, segalanya begitu berbeza, bahkan monitor samsung yang aku gunakan ini juga sudah tidak flickering seperti sebelum ini. Hampir 2 tahun aku membuat kerja dengan menggunakan external monitor yang sentiasa terganggu, aku menyangka ada interference daripada peralaratan elektrik jiran aku, rupa-rupanya RUby yang sudah terlalu tua.
Selamat tahun baru hijrah untuk semua, semoga tahun ini memberikan lebih banyak kerahmatan dan kebaikan.