Kitar semula binatang?

Kitar semula binatang?

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

kembali kita pada hari jumaat, pagi ni suasana begitu nyaman, membuatkan terasa begitu selesa duduk di meja kerja, semoga cuaca yang baik ini kekal sepanjang hari. Jika hari isnin dengan monday blues, hari jumaat pula merupakan hari yang dinanti2, kerana menandakan hari berakhirnya kerja dan hari cuti (untuk sesetengah negeri). Kebiasaannya kalau semasa aku bekerja di pejabat suatu masa dahulu, hari jumaat merupakan hari yang kurang produktif, kerana fikiran banyak melayang dengan perancangan-perancangan yang ingin dilakukan sepanjang hujung minggu itu nanti, tapi sekarang disebabkan bekerja sendiri, tiada lagi masa untuk mengelamun seperti itu, setiap hari adalah sama sahaja bagi aku.

Harini sekadar ingin bercerita mengenai kitar semula, budaya yang masih belum diterapkan secara menyeluruh di negara ini, walaupun suatu masa dahulu aku mengamalkan konsep kitar semula ini, tetapi apabila pulang ke Malaysia, aku sendiri sudah tidak mengamalkan kitar semula sampah sarap yang ingin dibuang. Antara sebabnya adalah tiada kemudahan untuk membuang sampah untuk dikitar semula, jika kita ingin mengejar ke arah negara maju, rasanya mentaliti mengenai pembuangan sampah juga perlu dititikberatkan. Seringkali kita melihat ramai yang membuang sampah sewenang-wenangnya terutama semasa memandu kenderaan masing-masing, aku pernah menulis artikel mengenai sampah ini suatu masa dahulu, tetapi apabila melihat gambar pengiklanan yang aku kepilkan di atas, aku terkesan sekali lagi mengenai budaya membuang sampah merata-rata ini.

Seandainya kita semua mengambil inisiatif untuk menyimpan sampah yang kita hasilkan, dan membuangnya ke tempat yang betul, pasti negara kita ini akan menjadi tempat yang lebih bersih untuk didiami. Alasan negara kita terlalu besar untuk dijadikan negara yang bersih adalah omongan kosong untuk mereka yang tidak mahu melakukannya, banyak negara-negara lain yang jauh lebih besar dari negara kita mampu menjaga persekitaran negara mereka dengan lebih baik, kenapa tidak kita?

Seringkali isu mengenai halal-haram makanan ataupun minuman mahupun aktiviti-aktiviti lain dibincangkan, tetapi kebersihan juga sebahagian daripada perkara yang dituntut oleh agama, mengapa kita seringkali mengabaikan isu ini? Persekitaran yang bersih pasti akan boleh menghasilkan banyak perkara-perkara yang positif, kerana dengan persekitaran yang bersih, makan minum yang disediakan juga akan terjaga kebersihannya dan seterusnya akan menyebabkan minda dan fizikal kita lebih sihat kerana tiadanya unsur-unsur kekotoran yang termasuk dalam makanan tersebut.


Kita boleh menjadi rakyat yang lebih prihatin, luangkan sedikit masa untuk mencari tong sampah, dan sekiranya tidak menjumpai sebarang tong sampah, jangan jadikan alasan untuk membuang sampah merata-rata, simpan sampah itu sehingga ada tempat yang sesuai untuk membuang sampah (tong sampah). Jika semua daripada kita mengamalkan kegiatan yang mudah ini, pasti kehidupan lebih menarik dengan persekitaran yang bersih dan selesa. Janganlah dengan perbuatan kita yang suka membuang sampah merata-rata, membuatkan banyak binatang-binatang yang pupus di muka bumi ini, sekali ia pupus, ianya tidak dapat dikitar semula.

sumber gambar : Des Ellis

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
10 June 2011 08:31
25 komen