Ubahsuaian lampu kereta yang melampau
Assalamualaikum dan salam hujung minggu kepada semua,
sudah lebih 10 hari tiada penulisan yang di coretkan di sini, semuanya kerana kesibukan kerja dan kebetulan cuti sekolah, mengambil peluang untuk pulang ke kampung di Kuala Selangor. Memang sudah menjadi kebiasaan pada suku pertama setiap tahun aku akan sibuk dengan pelbagai perkara untuk program sepanjang tahun. Tahun ini juga tidak terkecuali. Aku ingin berkongsi mengenai ubahsuai kereta yang bagi aku agak mengganggu keselamatan dan keselesaan pemanduan orang lain. Jika ada yang terasa hati atau tidak bersetuju dengan penulisan kali ini, dipersilakan untuk berkongsi pendapat dan buah fikiran anda di ruangan komen. Kita mempunyai pemikiran dan pemahaman yang berbeza-beza.
Apa yang aku ingin kongsikan harini, adalah ubahsuaian lampu kereta yang melampau sehingga seringkali mengganggu pemanduan aku apabila berada di jalanraya. Lampu yang aku katakan ini adalah lampu signal yang kita gunakan semasa ingin membelok ke kiri atau ke kanan, kebiasaannya semua kereta akan di berikan lampu signal berwarna oren kekuningan yang boleh di lihat dari jauh dengan mudah. Memang sudah menjadi kebiasaan, lampu kuning di jalanraya digunakan untuk memberitahu supaya berhati-hati dan bersedia untuk berhenti seperti mana pada lampu isyarat di jalanraya.
Lampu signal smoked
Ini situasi yang sudah acapkali aku temui, mungkin penggunaan lampu yang digelapkan ini tampak menarik jika digunakan dengan betul, tetapi kadar smoked yang melampau akan mengganggu fungsi asal lampu signal tersebut. Sudah seringkali aku terpaksa brek mengejut kerana lampu yang digelapkan secara melampau sehingga sukar untuk melihat sama ada lampu signal dinyatakan ataupun tidak. Mungkin masalah ini dihadapi oleh aku seorang sahaja, tetapi yang pasti, ianya akan membahayakan nyawa ramai orang lain kerana jika aku tidak sempat brek, kereta anda sendiri akan menjadi mangsa hentaman yang tidak sepatutnya.

Lampu signal biru
Satu lagi ubahsuaian yang seringkali aku jumpa adalah menukar lampu kuning kepada lampu biru, dan jika dilihat pada siang hari, lampu biru yang digunakan hampir sama warnanya dengan lampu putih asal sebelum lampu itu terpasang. Aku tidak pasti atas apa sebab ubahsuaian seperti ini dibuat. Sekali lagi ubahsuaian seperti ini walaupun mungkin cantik di mata, tetapi tidak praktikal untuk digunakan di atas jalanraya kerana boleh membahayakan pemandu yang lain.
Kemudian terdapat juga ubahsuaian lain seperti menyalakan lampu putih (yang biasanya digunakan untuk menunjukkan kereta sedang berundur) semasa brek ditekan. Semua ini mendatangkan kekeliruan kepada pemandu lain, dan boleh menyebabkan sesetengah pemandu panik, kerana melihat tiba-tiba lampu putih itu menyala, sedangkan berada di atas lebuhraya atau jalan besar, pasti pemandu lain yang menyangkakan gear undur telah dimasukkan akan cuba mengelak dan sebagainya. Ubahsuaian sebegini memang boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diingini berlaku. Jika kita ingin mengubahsuai lampu kenderaan kita, pastikan juga ianya tidak mengganggu pemandu yang lain, kerana bukan kita seorang sahaja yang memandu di atas jalanraya tersebut, terdapat berjuta pemandu lain yang mungkin menghadapi masalah yang sama seperti aku.

