Beza memang berbeza…
Assalamualaikum dan selamat hari ahad semua,
beberapa hari ni aku jarang melakukan aktiviti atas talian disebabkan urusan Visa rombongan isteriku ke L.A dan juga menyambut kepulangan ibunda dari tanah suci Mekah. Semalam, sekali lagi berada di jalanan kerana pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Perjalanan berjalan lancar, kenderaan agak banyak, mungkin disebabkan cuti hujung minggu, semua mengambil peluang untuk membawa ahli keluarga keluar berjalan-jalan. Bila bercerita mengenai jalanraya dan kenderaan, semasa di atas jalanraya, pasti kita akan tertarik apabila melihat kereta-kereta mewah lalu atau berselisih dengan kenderaan kita, untuk mereka-mereka yang memang sudah memandu kerete mewah ini, pasti sudah tidak menjadi sesuatu yang menarik, tetapi untuk orang-orang seperti aku, setiap kali melihat kereta mewah ini, pelbagai perasaan dan semangat yang tersuntik dalam diri.
Tempoh hari aku berpeluang untuk memandu sebuah kereta mewah ini, walaupun bukan kepunyaan sendiri, tetapi peluang untuk memandu lebih 1000km menggunakan kereta ini memang mengasyikkan. Pengalaman pemanduan yang begitu berbeza bagi aku, pada mulanya aku ingatkan speedometer pada kereta itu rosak, kerana meter menunjukkan 120km/j tetapi aku pemanduan begitu tenang sehinggakan aku merasakan aku sedang memandu dalam kelajuan yang lebih perlahan. Disebabkan sebelum ini, jika aku memandu lebih dari 110km/j pasti kenderaan akan sudah terlalu bising ataupun akan terasa gegaran pada stereng yang menyebabkan aku sedar yang aku sedang memandu laju. Namun begitu, apabila aku memandu kereta BMW kepunyaan abang iparku ini, segalanya amat berbeza, bunyi-bunyian dari luar juga tidak mengganggu ruangan dalam kenderaan, hanya bunyi-bunyian yang kuat seperti hon yang akan kedengaran, tetapi bunyi-bunyian lain seperti tidak kedengaran.
Pengalaman pertama memandu kereta mewah ini sememangnya memberikan aku ruang penilaian yang berlainan, patutlah sebelum ini biasanya abang iparku memecut laju walaupun sedang dalam konvoi, rupa-rupanya, kelajuan yang beliau pandu itu adalah keadaan yang paling selesa pada kedudukan gear tersebut. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis, aku memandu pada kelajuan 130-140km/j, kelajuan yang memang sudah pasti melanggar had laju lebuhraya, tetapi itu adalah kelajuan “cruising” yang paling minima untuk keselesaan memandu. Agak pelik apabila aku menulis seperti ini, tetapi itulah pengalaman yang aku hadapi, semoga tiada saman ekor yang akan diperolehi sepanjang aku memandu kereta tersebut ke beberapa buah negeri di sekitar semenanjung Malaysia.
Benarlah kata orang, apabila sesiapa sudah terbiasa memandu kereta kontinental, pasti tidak mahu lagi memandu kereta-kereta keluaran lain, kerana keselesaan pemanduannya amat berbeza. Tetapi aku tetap aku, masih memandu kenderaan buatan negara, kerana kereta-kereta hebat ini masih di luar jangkauan poket ini untuk dimiliki. Cukuplah sekadar berpeluang untuk memandu kereta tersebut untuk sekian ketika, kalau ada sesiapa yang ingin berkongsi pengalaman memandu atau memiliki kereta-kereta mewah ini, apakata menulis di ruangan komen.
