Di bulan September

Di bulan September

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

harini merupakan hari pertama bagi semua individu melalui bulan September, sudah 8 bulan kita melalui 2010 dan sudahkah kita mencapai apa yang telah kita rancang dah plan pada awal tahun tempoh hari? Aku terus terang masih belum mencapai apa yang aku target ingin di capai pada tahun ni, mungkin sebahagian sudah menunjukkan hasil, tetapi target utama aku sepatutnya dicapai pada Disember 2010, tinggal 3 bulan sahaja lagi untuk aku berusaha ke arah apa yang telah dicita-citakan. Memang aku perlu berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh, dan insyaALLAH dengan bantuan mereka yang disekeliling aku, perkara itu akan dapat di capai.

September 2010


Menetapkan matlamat sangat penting, supaya kita akan berusaha ke arah sesuatu benda itu, terdapat matlamat jangka masa pendek, sederhana, panjang, ada pula matlamat untuk kesihatan, perniagaan, pendidikan, keluarga dan pelbagai lagi. Semua dengan suatu tujuan, ingin mengecapai sesuatu di dalam kehidupan. Sudahkah anda menulis matlamat anda untuk hari ini? minggu ini? tahun ini? jika belum, anda masih boleh lakukannya, ambil sehelai kertas putih, dan tulis nama dan matlamat anda dengan jelas di atas kertas tersebut, dan tampal di bahagian yang anda biasa pandang, contohnya cermin di bilik, mungkin di pintu, di meja kerja, atau di mana sahaja yang anda fikir sesuai. Pengulangan matlamat akan membuatkan kita sentiasa peka dan sedar dengan apa yang ingin kita capai, semoga dengan kesedaran ini, kita akan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan matlamat kita suatu kenyataan.

Terdapat juga matlamat untuk di capai di blog eizil.com ini, bulan Ogos menunjukkan keputusan yang positif, hasil dari membawa masuk blog ke dalam makmal tempoh hari sememangnya berbaloi, terdapat ilmu-ilmu baru dan idea-idea baru untuk aku menambahbaik blog ini. Bulan September akan dijadikan kayu ukur untuk melihat sama ada baik pulih seterusnya yang akan dilakukan dalam sehari dua ini, akan mendatangkan hasil yang lebih baik. Jika semuanya berjalan lancar, aku akan berkongsi dengan semua apa yang telah dilakukan untuk mencapai keputusan tersebut, mungkin tidak menarik bagi sesetengah pihak, tetapi tidak salah rasanya jika aku berkongsi, mungkin akan mendatangkan faedah kepada orang lain.

Mulakan hari anda dengan semangat yang jitu, minda yang positif, senyuman yang menawan dan hati yang ceria, panjatkan kesyukuran kerana kita masih mampu bernafas, masih mampu menikmati kehidupan di alam fana ini. Sesungguhnya rahmat yang diberikan kepada kita ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya, atau jika tidak, kita akan kerugian. Selamat bulan September semua. :)

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
01 September 2010 09:27
20 komen

Salam terakhir

Salam terakhir

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

artikel ini adalah untuk penyertaan Pertandingan Cerita Berilhamkan Lagu dari Ezany Kun. Aku sekadar ingin memeriahkan pertandingan itu, walaupun menyertai pertandingan ini pada saat-saat akhir. Jam menunjukkan 11:25 malam, dan tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 11:59 malam ini, semoga aku sempat untuk menulis sebuah cerita pendek dengan menggunakan susunan ayat dan ejaan yang betul.
Salam Terakhir

-~~-
Kringggggggggg! Deringan loceng yang bingit itu membuatkan hatiku begitu gembira, segalanya telah berakhir, persekolahanku tahun ini telah mencapai ke penghujungnya, tidak perlu lagi bersusah payah untuk menggalas beg ini setiap hari dengan isi kandungan yang begitu berat, mengalahkan menggalas batu-bata di tapak pembinaan. Seperti biasa, aku dan rakan-rakanku berjalan ke tempat letak basikal untuk mengambil kenderaan yang membantu kami untuk pergi menuntut ilmu. Semuanya tersenyum antara satu sama lain, kerana percutian sekolah telah bermula, pelbagai rancangan telah dibuat sejak beberapa bulan yang lalu, dan tiba masa untuk melaksanakannya.

“Macam mana dengan perancangan kita esok?” soal Rani bersungguh-sungguh. Aku sekadar mengenyitkan mata tanda setuju. Perancangan untuk menjelajah menaiki basikal kami itu pasti akan diteruskan, rugi rasanya jika perancangan itu diabaikan.

Seawal pagi kami berkumpul di tempat yang dijanjikan, pada hari ini kami akan menjelah kira-kira 80km untuk melawat beberapa rumah rakan-rakan kami di sekitar mukim kami, perjalanan yang jauh itu telah kami rancang, bekalan makanan, minuman dan peralatan untuk memperbaiki basikal tidak dilupakan. Begitu juga bekalan wang tunai seandainya ada perkara yang perlu dibeli sepanjang perjalanan yang akan mengambil masa seharian suntuk. Kami berempat dalam penjelajahan kali ini, aku, Rani, Shah dan juga Johari. Kami membuat pemeriksaan terakhir sebelum memulakan perjalanan, semuanya tidak sabar untuk mengembara dengan menggunakan basikal yang telah menjadi sebahagian daripada hidup kami. Setelah semuanya selesai, kami memulakan perjalanan dengan berbaris antara satu lain, sudah berkali-kali ibu mengingatkan supaya jangan bergurau senda di atas jalanraya.

“Kita nak mula ke mana? Ke sana atau ke sini?” Shah bertanya sambil jarinya menunjukkan dua simpang jalanan. Keadaan sunyi seketika, kemudian Johari tanpa berkata-kata memulakan kayuhannya, kami terpinga-pinga sementara waktu sebelum memulakan kayuhan mengekori Johari. Kami bernyanyi riang di sepanjang perjalanan, sekali sekala kami berhenti untuk menghilangkan lelah dengan menikmati minuman yang telah di bawa sebagai bekalan. Kami berhenti untuk makan tengahari di sebuah anak sungai, kesempatan itu juga kami ambil untuk bermandi manda, semuanya tersenyum riang kerana tiada sesiapa yang akan memarahi kami. Perjalanan diteruskan dengan melawat ke beberapa rumah rakan-rakan kami, sebelum kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.

Perjalanan pulang ke rumah berjalan lancar, kami tidak menggunakan jalanraya utama, sebaliknya menggunakan laluan kampung di celah-celah pokok kelapa sawit dan kadangkala pohon getah yang ditanam oleh penduduk sekitar, segalanya begitu indah, angin yang nyaman bertiup menyegarkan muka, walaupun sudah seharian berbasikal, tenaga di dalam diri ini masih gagah untuk meneruskan setiap kayuhan. Setibanya di suatu sudut, Shah menjerit menyuruh kami untuk berhenti, rantai basikalnya lucut. Kami terpaksa berhenti seketika untuk membantu Shah membaiki rantai basikalnya, kami tidak pernah meninggalkan sesiapa apabila kami di dalam penjelajahan seperti ini, semangat setia kawan sentiasa tersemat kemas di dalam sanubari setiap dari kami. Itulah yang membuatkan kami sentiasa mampu untuk menghadapi apa jua masalah yang melanda.

Setelah segalanya diperbaiki, kami meneruskan perjalanan ke tempat perkumpulan kami pagi tadi, sebelum menuju ke rumah. Rani minta kami tunggu sebentar, dia ingin mengatakan sesuatu. “Kawan-kawan, aku nak minta maaf kalau ada salah silap selama kita menjelajah bersama-sama, mungkin lepas ni aku dah tak boleh nak ikut.” Kemudian dia dengan laju mengayuh basikalnya pulang ke rumah. Kami pun meneruskan kayuhan ke arah rumah masing-masing.

Bunyi azan subuh berkumandang, aku masih di bawah selimut, cuti sekolah membuatkan aku malas untuk bangun pagi, jika bukan kerana ibunda membebel menyuruh aku bangun, pasti aku akan terus berada di atas katilku. Setelah di marahi oleh ibunda, aku bangun juga, setelah mandi manda, dan bersolat subuh, kedengaran sayup-sayup orang memberi salam ke rumahku. Kelihatan Johari sedang termengah-mengah dengan basikalnya, beliau tergesa-gesa mengajakku ke suatu tempat. Aku meminta kebenaran emakku, dalam berat emakku memberi kebenaran. Kemudian kami ke rumah Rani yang kira-kira 10 minit berbasikal dari rumahku, setibanya di situ, kelihatan orang ramai sedang berkumpul, aku tertanya sendiri, rupa-rupanya Rani telah meninggalkan kami untuk selamanya, penyakit yang dihidapinya selama ini tidak pernah dikongsikan kepada kami. Aku hampir terduduk tidak dapat menerima kenyataan, terlalu banyak pengalaman indah yang aku harungi bersama-samanya, rupanya semalam merupakan saat terakhir aku bersama dengannya. Tangisanku mengalir.

Salam Terakhir

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

( korus 1 )
Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

( korus 2 )
Salam akhir
Salam yang teristimewa
KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya ku beri kemaafan
Kepadamu

( ulang korus1, korus2 )


Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersama mu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salam ku di ingatan

Salam ku yang terakhir

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
31 August 2010 23:56
6 komen

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 53

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 53

Assalamualaikum dan salam Kemerdekaan kepada semua,

semalam tidak menjalankan aktiviti di talian kerana balik ke kampung mertua untuk berbuka beramai-ramai. Perjalanan berjalan lancar, trafik tidak terlalu sesak, mungkin ramai yang simpan cuti untuk digunakan semasa hari raya nanti. Apapun aku ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia seantero dunia. Semoga kita menghayati apa erti kemerdekaan kepada kita, terutama generasi yang lahir selepas merdeka, kerana peristiwa ini sesuatu yang sangat penting demi mencapai apa yang kita ada sekarang.

Harini aku tak nak tulis artikel panjang-panjang seperti semalam, sekadar ingin berkongsi wallpaper versi Hari Merdeka ke 53 untuk sesiapa yang nak guna, walaupun rasanya sudah banyak wallpaper yang berada di pasaran, tapi ini versi yang telah dikemaskini dari wallpaper yang aku kongsi sebelum ni.


Selamat Hari Merdeka 53

[Merdeka 53 1280 x 800]
[Merdeka 53 1024 x 768]
[Merdeka 53 1366 x 768]
[Merdeka 53 1280 x 1024]
[Merdeka 53 1440 x 900]

Hari ni ramai yang mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga, rakan-rakan atau sanak saudara, semoga dalam pada kita bergembira, kita tidak lupa kepada yang sedang memerlukan bantuan kita.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil

8 komen

Blogger yang terkentut

Blogger yang terkentut

Assalamualaikum dan salam blues orang kita kepada semua,

seperti mana yang sedia maklum, tajuk artikel kali ini adalah merujuk kepada aktiviti abang Rohaizad kita, aktiviti yang telah dijalankan sejak awal bulan Ogos tempoh hari ini sememangnya telah membuka ruang kepada ramai penulis untuk berkongsi cerita dan rasa dengan tajuk yang sama. Cerita ini merupakan rentetan dari kisah Blogger yang tersepit diikuti dengan kisah Blogger yang terdesak, dan pada hari ini mengenai kisah seperti dikongsikan pada tajuk artikel ini.

Tangannya ku genggam erat, tidak lama kemudian, terasa jari jemarinya menyentuh lembut pipiku untuk mengesat air mataku yang berlinangan sebentar tadi, terlalu sayu terasa hati ini mengenang rentetan peristiwa yang mengisi ruang hidup ini. Sudah menjadi lumrah kehidupan seorang individu bergelar manusia, pengalaman membuatkan diriku lebih tabah dan cekal menghadapi cabaran, ibarat jika tiada ombak menghempas, masakan pantai akan berubah. Setelah sekian ketika, langkah ku hentikan, terdapat batu besar yang terdampar di tepian pantai, seperti menanti sesuatu untuk sekian lamanya, aku melabuhkan diri di atasnya, diikuti oleh si cantik manis yang menjadi suri di dalam kehidupanku, yang begitu setia mengharungi segala onak dan duri kehidupan bersama-samaku. Percikan ombak yang membasahi pipi sangat menyegarkan, namun mindaku, tanpa sedar, mengenang peristiwa yang lalu.

Suhu di pagi itu terlalu dingin untuk aku keluar dari selimut, untuk mengerjakan suruhan Ilahi masih terlalu awal, namun aku perlu bangun untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Pakaian yang telah tergantung dari semalam sekali lagi aku belek, terasa seperti masih ada sedikit kedutan, pantas tangan ini mengambil seterika dan mula menggosok sekali lagi baju yang sebenarnya sudah tidak sekusut mana, kerana telah pun diseterika semalam. Setelah membelek beberapa ketika, aku tersenyum lebar, kemasan yang dicari sudah dicapai, walaupun ianya bukanlah perkara yang aku biasa lakukan, tetapi hari ini adalah hari penting buatku, aku perlu pastikan segalanya berjalan lancar. Kemudian kedengaran azan subuh berkumandang, baru aku tersedar, begitu lama rupanya aku menghabiskan masa semata-mata untuk memastikan kekemasan pakaianku.

Aku bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri, setiap perkara aku teliti, tiada yang terlepas dari perhatianku, semuanya perlu sempurna hari ini. Sayup kedengaran bebelan dari penghuni di rumah ini supaya aku mempercepatkan sesi di dalam bilik air tersebut, namun aku tetap berdegil. Setelah berpuas hati dan keyakinan diri mula meningkat, aku terus bersiap selepas menunaikan suruhanNya, pagi itu aku menjamu hidangan sarapan yang telah disediakan oleh ibunda, perutku perlu diisi, jika tidak mungkin ianya akan menggangu aktiviti yang akan aku lakukan pada hari ini. Hidangan nasi lemak sambal sotong itu begitu menyelerakan, ibunda memang cekap memasak, pasti aku akan kerinduan jika suatu hari nanti aku tidak dapat menikmati hidangan seperti ini, terdetik di dalam hatiku semasa sedang menikmati suapan demi suapan.

Dengan langkah penuh keyakinan, aku mengorak langkah keluar dari rumah menuju ke perhentian bas, kelihatan gadis-gadis yang cantik manis sedang menanti dengan pelbagai aksi, ada yang bersama pasangan mereka, dengan gaya yang begitu mesra dan ada juga sibuk berbicara dengan rakannya sambil tangan tidak henti menggayakan sesuatu laksana seorang pemidato hebat di atas pentas. Aku tetap dengan tujuanku yang satu, tiada yang dapat menghalangnya kecuali dengan izin Yang Maha Esa. Perjalanan yang agak jauh itu membuatkan aku tidak tenang, selepas menaiki bas, aku bertukar pula menaiki teksi, tempat yang aku ingin tujui ini agak jauh, dan hanya boleh dituju menggunakan teksi atau kenderaan sendiri. Pintu masuk tempat tersebut kelihatan, aku terpegun melihat keindahannya, aku keluar menikmati udara segar yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di pagi hari, indahnya kehidupan. Bunga-bunga kembang mekar, kelihatan ada individu yang duduk bersantai di beberapa sudut, tidak kurang burung-burung yang terbang riang di udara menikmati keindahan alam.

Tersipu-sipu maluAku melangkah laju, ke tempat yang dituju, bangunan putih yang tersergam itu perlu aku dekati, acapkali aku melihat jam di tangan, risau jika aku akan tiba lewat dari masa yang telah ditetapkan. Kelihatan seorang gadis sedang duduk dengan muka yang tenang, aku perlu berjumpa dengannya, memang itulah tujuan aku berada di sini hari ini. Aku pergi mendekatinya sambil tersenyum lebar, ucapan selamat diberi penuh tertib, semerbak bau wangian yang digunakan oleh gadis itu, bauan yang memang menyegarkan, dokumen yang dipegang sejak tadi aku berikan kepadanya, pendaftaran perlu dilakukan. Gadis itu menguruskan pendaftaranku dengan penuh teliti, satu persatu diselak, selepas beberapa cop diletakkan di atas dokumen tersebut, dia memandang kepadaku, sambil meminta kad pengenalan aku untuk dikepilkan bersama. Kemudian suasana berubah, bau wangian tadi mula hilang, diganti dengan bauan yang tidak dapat aku gambarkan, aku mula berasa mushkil, kenapa tiba-tiba segalanya berubah. Aku menyerahkan kad pengenalanku kepada gadis tersebut, dan kelihatan muka gadis itu kemerah-merahan, seperti menahan malu. Aku berfikir sendiri di dalam hati, “takkan baru sekarang nak malu-malu pulak dengan aku, tadi takder pun.“. Aku tidak melanjutkan pemikiranku, ada perkara lain yang lebih penting, harini bukanlah masa untuk aku terpikat atau dipikat, aku pantas meneruskan langkah ke bilik yang sepatutnya aku tujui.

Persiapan yang aku lakukan membuahkan hasil yang menggembirakan hatiku, permohonan daku telah diluluskan, aku diterima dalam temuduga tersebut. Walaupun kebiasaannya jawapan hanya akan diberikan selepas beberapa hari, tetapi aku beruntung kerana diberi jawapan serta merta. Berbunga-bunga hati ini semasa melangkah pulang, ketika di dalam bas, aku terfikir kembali mengenai peristiwa yang berlaku di meja pendaftaran tadi, kenapa aku begitu lembab untuk berfikir pagi tadi, mungkin disebabkan terlalu fokus dengan perkara lain, kini aku pasti akan jawapan sebenar peristiwa tersebut, gadis itu tersipu-sipu malu bukan kerana terpikat denganku, tetapi kerana dia telah terkentut. Aku tersenyum sendiri.

Aku tersedar sekali lagi dari lamunan, apabila si cantik manis yang duduk disebelahku bermain-main lalang di telingaku, terasa geli tak terhingga. Aku pun terjun dari batu dan memercikan air di pantai itu ke arahnya, kami bermain-main air di pagi itu, suasana pagi riuh dengan suara sepasang suami isteri yang bergurau senda di tepi pantai. Begitulah kehidupan di dunia ini, kadangkala kita tidak dapat menilai sesuatu peristiwa itu dengan betul di saat kita mengalaminya, cubalah muhasabah semula setiap peristiwa yang berlaku, pasti anda akan mendapat jawapan yang lebih tepat atau hasil penilaian yang lebih jitu.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
30 August 2010 07:35
21 komen

Apakah erti kemerdekaan kepada anda?

Apakah erti kemerdekaan kepada anda?

Assalamualaikum dan salam hujung minggu kepada semua,

tinggal beberapa hari lagi kita akan tiba ke detik-detik bersejarah yang telah mengubah kehidupan kita yang berada di tanahair ini kepada kehidupan yang kita kecapi sekarang. Detik bersejarah yang berlaku 53 tahun dahulu ini merupakan perkara yang sangat penting dalam rentetan sejarah tanahair kita. Namun begitu, berapa ramai yang menghargai kemederkaan yang dikecapi? Terus terang, aku sendiri sebenarnya tidak begitu terkesan dengan hari kemederkaan ini sewaktu meningkat dewasa, bagi aku, hari kemerdekaan adalah hari bercuti dimana aku boleh melihat perarakan di peti televisyen sambil bergembira bersama ahli keluarga, tidak lebih dari itu. Tiada langsung rasa semangat atau perasaan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan.

Erti kemerdekaan
Namun apabila aku semakin meningkat usia, lebih banyak dokumentari dan buku yang telah aku baca, semakin mendalam perasaan itu, aku sedar bahawa perjuangan yang telah dijalankan suatu masa dahulu bukanlah mudah, segalanya dilakukan atas semangat yang cekal, untuk membebaskan bangsa dari cengkaman penjajah. Apabila aku membayangkan aku hidup di zaman itu, aku sendiri tidak pasti, adakah aku akan mempunyai semangat itu? persoalan yang sememangnya tidak dapat aku jawab. Aku pernah berkongsikan suatu artikel pada kemerdekaan tahun lepas, Merdekakah kita?, sedikit petikan dari artikel tersebut.

Saban hari begitu ramai yang menjadi peminat fanatik kepada artis, penyanyi, pelakon, pemuzik, ahli politik, parti politik, kumpulan bola sepak dan banyak lagi. Begitu mudah untuk kita mengikut perasaan dalam mengikuti benda yang kita minati. Kepada penyokong pihak A sanggup bertegang urat semata-mata ingin memerangi penyokong pihak B, dan begitu jugalah sebaliknya. Kemanakah hala tujuan kita dengan mengikut emosi semata-mata? dan malangnya, ramai yang di dalam kalangan in adalah berbangsa melayu, bangsa saya sendiri.

Apabila disebut pasal kemerdekaan, erti kemerdekaan, pasti ramai yang sekadar mengambil perkara ini sambil lewa. Adakah kita sedar yang pada bila-bila masa, kita mungkin akan dijajah semula, jika kita sendiri tidak sedar dan tidak sayangkan negara kita sendiri? Kemerdekaan yang telah kita kecapi puluhan tahun ini mungkin akan menjadi suatu lagi peristiwa sejarah yang tertulis dalam buku-buku rujukan. Aku kadangkala terfikir, bagaimana jika peperangan tiba-tiba melanda, adakah aku cukup kuat untuk menghadapinya? adakah aku mampu untuk berdiri berani menentang musuh? persoalan-persolan yang bermain di benak fikiran ini tidak pernah mendapat jawapan, kerana aku sendiri tidak pasti.

Tempoh hari aku berkesempatan untuk menonton satu rancangan dokumentari di channel History, tajuk rancangan tersebut Malaysia’s Very Able Troopers (VAT 69), yang mengisahkan perjuangan pasukan komando dalam membanteras kegiatan komunis di negara ini. Walaupun selepas merdeka, mereka tetap berjuang demi keselamatan negara, latihan demi latihan yang lasak dilalui selama 3 bulan di atas bukit yang penuh dengan hutan belantara itu pastikan memeritkan. Sehinggakan, untuk mendapatkan bekalan air, perlu berjalan turun ke bukit selama 45 minit, sesuatu yang pastinya sukar untuk aku lakukan dalam keadaan sekarang ini. Mendengar kisah tersebut diceritkan kembali oleh ahli-ahli pasukan VAT 69 ini sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada diri aku. Adakah kita pernah mengambil tahu kegiatan seperti ini? Mereka bekorban masa, tenaga dan nyawa untuk memastikan keselamatan kita seharian. Sememangnya masih ramai yang bertugas untuk menjaga sempadan dan sebagainya, dan kebiasaannya aku mendengar jawapan “Itu memang dah menjadi tugas mereka, siapa yang suruh jadi tentera?”. Begitu mudah kita menidakkan jasa mereka ini.

Semoga kita lebih menghayati hari kemederkaan ini, bagi aku sambutan atau perarakan itu tidak penting, mengibarkan bendera Malaysia semata-mata tidak cukup, kita perlu lebih memahami erti kemederkaan yang tercapai. Pelajari sejarah, dan ingatinya, semoga sejarah itu tidak berulang.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
29 August 2010 13:38
16 komen

Apabila hasil penulisanku mengisi ruang akhbar

Apabila hasil penulisanku mengisi ruang akhbar

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia semua,

petang tadi aku pergi ke rumah mertua aku untuk berbuka puasa, dan dalam perjalanan, terdapat beberapa sms, tetapi seperti biasa, aku tidak akan memeriksanya sehingga aku sampai ke destinasi. Sms dari seorang sahabatku mengatakan salah sebuah artikelku telah terpapar di akhbar semalam. Aku memang tidak membeli akhbar di rumah, tetapi bernasib baik kerana di rumah mertua aku, mereka membeli akhbar yang sama, iaitu Berita Harian. Isteriku mencari-cari di akhbar semalam mengenai artikel yang dinyatakan, dan ternyata satu halaman hampir penuh dengan artikel Blogger yang tersepit tempoh hari terpampang di ruangan Varsiti, bahagian nostalgia.

Eizil Berita Harian

Penulisan eizil di berita harian

Sememangnya tempoh hari, seorang wartawan telah menghantar email kepada aku meminta kebenaran untuk menyiarkan artikel itu di ruangan tersebut. Menerima email tersebut sememangnya menggembirakan, walaupun aku sendiri jarang membaca ruangan varsiti ini, tetapi apabila aku ketahui bahawa hasil penulisan aku itu mungkin dibaca oleh begitu ramai pembaca, memang hati ini berbunga-bunga. Sepertimana suatu masa dahulu sewaktu menjadi salah seorang penyumbang artikel ke dalam buku Jiwa Kacau, tetapi pada waktu itu, aku sendiri perlu menyumbang sedikit wang untuk menerbitkan buku tersebut. Sebenarnya aku agak terkejut apabila kawan aku menghantar sms tersebut, aku tidak menyangka artikel ini akan disiarkan dalam masa terdekat, memang tertanya-tanya juga bila artikel itu akan disiarkan, tetapi sekadar mendiamkan kepada diri sendiri.

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada abang Rohaizad kita, kerana jika bukan kerana abg rohaizad kita menganjurkan aktiviti menulis artikel satu tajuk berlainan cerita, pasti aku tidak akan menulis artikel tersebut. Walaupun kisah tersebut sememangnya terpahat kemas di dalam ingatan ini sebagai salah satu perkara penting di dalam kehidupan, pengalaman dan perasaan di kala itu, tidak dapat di kongsi secara 100% melalui penulisan, kerana sememangnya sukar untuk mendapatkan perkataan sebenar yang boleh menggambarkan apa yang aku rasa, tetapi semoga kisah yang aku kongsikan itu, akan memberikan sedikit sebanyak impak kepada sesiapa yang membaca.

Kepada yang ingin menyertai aktiviti seperti ini, jangan lupa untuk menulis tajuk terbaru yang diberikan iaitu Blogger Yang Terkentut » Rohaizad dot com. Masih banyak masa untuk anda memikirkan cerita yang ingin dikongsikan dengan tajuk tersebut, jangan lepaskan peluang seperti ini. Selamat hujung minggu aku ucapkan, semoga anda semua berbahagia bersama yang tersayang, dan semoga bulan baik ini akan memberikan lebih banyak rahmat kepada kita insyaAllah.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
27 August 2010 23:30
37 komen

Kingston DT101 G2

Kingston DT101 G2

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

harini kehidupan pada siang hari tiada apa yang menarik, sekadar rutin biasa, membuat kerja dan sebagainya. Pada malam hari, aku membawa isteri tersayang pergi membeli belah beberapa peralatan untuk raya, malam ni kota bharu sesak dengan orang ramai, semuanya berpusu-pusu keluar membeli belah, mungkin disebabkan gaji yang baru masuk, dan esok pula cuti. Semua ambil peluang untuk bersama dengan keluarga, tempat letak kereta di Wakaf Che Yeh penuh dengan dereten kenderaan. Suasana di dalam pasar juga penuh dengan orang ramai.

Dalam pada memilih pakaian untuk isteriku, aku mengambil peluang untuk membelek USB Stick yang baru, memang tiada kaitan dengan raya, tetapi bagi aku benda ni lagi penting, kerana melibatkan pekerjaan aku sebagai pengaturcara bebas sepenuh masa. USB Stick dari jenama Kingston dengan saiz 4Gb menjadi pilihan, dan lebih menggembirakan apabila isteriku yang membayar untuk USB Stick aku, dapat hadiah nampaknya malam ni. Terima kasih sekali lagi.

Kingston DataTraveler

Kingston DataTraveler

Sejak penghujung tahun lepas, USB Stick yang biasa aku gunakan telah rosak, dan sejak itu, aku hidup tanpa salah satu peralatan yang biasanya menjadi peneman aku setiap masa. Sangat bersyukur apabila kini telah ada pengganti, dan ianya juga dilengkapi dengan urDrive, sepertimana SanDisk aku sebelum ini yang mempunyai sistem U3 didalamnya, yang membolehkan aku memasang aplikasi aku ke atas USB Stick tersebut.

Kingston urDrive

Antaramuka Kingston urDrive

Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh anda pasang ke dalam urDrive anda, semuanya boleh diperolehi dari urApp Zone. Namun begitu, anda perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri di urfooz.com untuk membolehkan anda mengakses semua aplikasi yang tersenarai. Antara aplikasi yang aku pasang adalah putty, 7zip, notepad++, clamWin dan beberapa lagi aplikasi yang kebiasaannya aku perlukan jika bekerja di komputer asing bukan milik aku. Semoga USB Stick kali ini akan bertahan seperti mana jaminan 5 tahun yang diberikan. Selamat hari jumaat semua.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil

16 komen

Resepi: Masakan kentang ringkas

Resepi: Masakan kentang ringkas

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

kali ini aku ingin berkongsi satu resepi ringkas yang boleh di masak oleh sesiapa sahaja, kalau resepi ni tak boleh masak juga, aku tak dapat nak tolong dah. Resepi ini memerlukan bahan yang sangat sedikit, dan bahan-bahan ini boleh didapati di kebanyakan kedai-kedai runcit mahupun pasaraya. Resepi ini sesuai di makan begitu sahaja, atau dijadikan hidangan sampingan bersama-sama nasi, steak atau sebagainya yang anda gemari. Mari kita lihat terlebih dahulu bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • Kentang 6-7 biji (bergantung kepada berapa ramai orang makan)
  • Bawang besar 2 ulas (kalau kentang banyak, boleh tambah bawang ni)
  • Bawang merah 4 ulas
  • garam dan lada putih secukup rasa
  • mentega/minyak zaitun

Sedikit jer bahan-bahan yang diperlukan, bawang tu kalau malas sangat, boleh guna bawang besar sahaja, abaikan bawang merah tersebut. Kemudian mari kita lihat bagaimana untuk menyediakan hidangan ini?

Cara-cara

  • Cuci kentang tersebut dengan kulit-kulitnya (tidak perlu kupas), kemudian rebus sehingga agak empuk
  • Kemudian hiris kentang pada ketebalan yang digemari
  • Panaskan kuali, dan masukkan mentega/minyak zaitun tadi
  • Kemudian masukkan bawang yang mayang halus, biarkan sementara sebelum memasukkan kentang yang telah dipotong tadi
  • Kemudian goreng sehingga bawang dan kentang mula keperang-perangan, semasa anda menggaul, kentang tersebut mungkin akan pecah, biarkan sahaja.
  • Masukkan sedikit garam dan juga lada putih secukup rasa, kemudian gaul rata dan hidangkan untuk dijamu

Masakan kentang ringkas

Kentang yang siap dimasak sedia untuk di makan


Mudah bukan? kentang yang digunakan memang tidak dikupas untuk mendapatkan hasil yang lebih menarik, tetapi jika anda tidak suka, anda boleh juga mengupasnya selepas direbus. Selamat mencuba, jangan lupa kongsikan pengalaman anda jika anda mencuba resepi ini di ruangan komen.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
26 August 2010 00:53
10 komen

Alat permainan baruku

Alat permainan baruku

Assalamualaikum dan selamat hari selasa semua,

semalam seharian hidup aku dihabiskan di atas jalanan dalam kereta, disebabkan terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan, seharian juga aku tidak online seperti kebiasaannya. Kerja-kerja pun banyak yang tertangguh, tetapi bukan aku sengaja nak memandu lama-lama atas jalanraya. Memandu bersendiri, dengan perjalanan yang jauh beratus-ratus kilometer, ditambah dengan aktiviti berpuasa, agak mencabar untuk aku yang melaluinya buat pertama kali. Berhenti di beberapa stesyen minyak melihatkan ramai juga yang menikmati juadah masing-masing di dalam kereta, tidak kurang yang makan semasa di dalam perjalanan, kerana kelihatan kulit-kulit rambutan terbang keluar dari tingkap kenderaan mereka.

Semalam juga aku terfikir untuk mencuba mengaktifkan celcom broadband menggunakan telefon bimbitku, sebelum ni aku menggunakan kad sim berasingan untuk celcom broadband aku, tetapi sekadar ingin mencuba, aku mengaktifkannya di atas nombor utama aku yang telah mendapat kad sim yang baru tempoh hari, setelah lebih 6 tahun menggunakan kad sim yang lama. Warnanya pun sudah bertukar menjadi keperang-perangan dimamah usia. Pengaktifan dilakukan dengan mudah, sekadar dail *118# dan pilih 3 untuk broadband, dan ikuti langkah pengaktifan. Setelah diaktifkan, mendapat pesanan ringkas, menyatakan

Yr svc is now activated.Fee:RM20,expires on 30/08/2010.Pls renew request to avoid charge or RM0.10/10kb after expiry.Info:Type Broadband Status to 28882

Kemudian aku cuba untuk online dengan browser yang memang tersedia dengan Sony Ericsson k770i aku ni, memang selama ni aku tidak pernah menggunakan browser di telefon bimbit aku ni. Aku sekadar membuat carian google untuk percubaan, dan kemudian keluar dari browser, dan memeriksa baki prepaid aku dengan menaip *124#, dan nampaknya tiada penolakan lain yang dibuat. Aku memang teruja dengan perkembangan ni, semua aktiviti ni aku lakukan semasa berhenti berehat di sebuah perhentian rnr, walaupun cadangan asal sekadar ingin berhenti sekejap, tetapi ianya berlanjutan sehingga setengah jam. Beberapa aplikasi seperti pavo.me, snaptu, google maps, di pasang untuk percubaan, semuanya berjalan dengan lancar.

Sony Ericsson Phone Modem

Sambungan internet menggunakan modem telefon


Nampaknya selepas ini mungkin aku tidak memerlukan lagi servis ChannelX Tweet via SMS dari celcom. Kemudian satu lagi perkara yang perlu aku cuba adalah untuk menjadikan k770i aku ni sebagai modem apabila tiba di rumah, namun semalam tidak berkesempatan untuk mencuba kerana sudah terlalu penat apabila sampai ke rumah. Pagi ni baru sempat nak cuba, dan tools yang diperlukan adalah Sony Ericsson PC Suite yang sememangnya sudah terpasang pada Rubyku ini. Semasa aku menulis artikel ini, talian internet aku adalah menggunakan modem dari telefon bimbit, segalanya berjalan dengan lancar, sambungan melalui Bluetooth membenarkan aku untuk menggunakan lebihan port USB untuk kegunaan yang lain. Semalam sempat juga menghantar mesej berbuka puasa menggunakan snaptu.

Buat masa ini, aku akan menggunakan telefon SE K770i aku ini dengan lebih menyeluruh, sebelum menukarkannya kepada Sony Ericsson X10 Mini Pro jika mendapat kesempatan. Begitu banyak fungsi-fungsi dalam telefon bimbit sekarang yang tidak aku gunakan disebabkan kekangan sambungan internet sebelum ini. :) Selamat semua

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
24 August 2010 11:51
19 komen