Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia diucapkan,
syukur alhamdulillah, jari-jemari ini masih kuat untuk menaip di atas papan kekunci ini, salah satu aset penting dalam kehidupan seorang pengaturcara bebas. Mungkin ramai yang sudah tahu, sekali lagi aktiviti menulis satu tajuk lain cerita dianjurkan oleh abang Rohaizad kita, kali ini diberi tajuk Blogger yang terdesak. Jika anda belum membaca kisah sebelum ni, bolehlah singgah ke Blogger yang tersepit, supaya anda tidak begitu keliru dengan kisah yang akan dikongsikan di sini.
Langkah demi langkah diteruskan sambil sekali sekala aku menendang-nendang ombak itu laksana seorang pemain bola profesional, kadangkala tendangan itu sekadar terlepas di udara, terdetik sendiri dalam fikiran, memang dari dahulu aku tidak begitu mahir untuk menyepak bola, sekadar mampu bermain bersama rakan-rakan di waktu petang, tidak lebih dari itu. Ketika aku leka bermain bersama diri aku sendiri, dari jauh kelihatan cahaya yang begitu indah dari sang mentari yang baru hendak menghiasi alam ini. Berbeza sekali dari cahaya yang ku lihat sebentar tadi, ianya begitu terang, membuatkan mataku silau dan terus menutupkan mata ini. Imbasan suatu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku menerjah ke benak pemikiranku.
Seperti biasa aku akan menghubungi ayahanda dan bonda setiap minggu, hanya bualan di telefon yang dapat mengubat rindu yang bersarang saban hari, kehidupan di bumi asing ini sememangnya membebankan, tiada perkataan yang dapat menggambarkan kehidupan yang hanya indah sewaktu sebelum sampai ke sini. Perbualan dengan ayahandaku pada ketika itu sungguh rancak, topik bersilih ganti, sehinggalah sampai perbualan yang membuatkan kisah itu terpahat kemas di sanubariku. Aku berkongsi dengan ayahandaku mengenai rancanganku pada masa hadapan, cita-citaku untuk membelikan rumah untuk ayahbonda lancar ku tuturkan kepadanya, semoga dia akan gembira dengan rancanganku. Satu persoalan yang ditimbulkan, “kalau kau dah kahwin nanti macam mana pula?” jawapan seperti sudah tertulis di dalam minda ini, terus tanpa sebarang keraguan aku menyatakan aku boleh menyewa atau membeli rumah yang lain, yang pasti aku ingin mereka hidup selesa di rumah tersebut.
Sudah menjadi sifat ayahandaku yang sukar untuk menunjukkan emosinya, namun jauh di sudut hati, aku dapat membayangkan senyuman yang menghiasi bibirnya itu. Senyuman yang sudah cukup untuk memberikan aku motivasi untuk terus berjuang di dunia serba mencabar ini. Sudah saban tahun aku berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan daripada ayahanda, beliau sentiasa tidak puas dengan pencapaianku, jarang sekali mendapat pujian secara terus, setelah sekian lama, aku hanya mengharapkan senyuman manis darinya. Itu sudah cukup untuk membuatkanku kembali segar dan berasa puas lebih daripada pencapaian yang telah dikecapi.
Malam berganti siang, tiga hari telah berlalu sejak perbualan aku dengan ayahbonda, harini merupakan hari terakhir aku menghadapi ujian akhir semester, lapang rasanya dada seperti batu besar yang menghimpit sebelum ini telah diangkat ke tempat lain. Selepas meninggalkan pusat pengajian, aku bersiar sebentar di pekan yang dihiasi dengan perkataan-perkataan asing yang baru sahaja aku pelajari maksudnya, semata-mata untuk melanjutkan pelajaran ke sini. Entah kenapa, tiada perkara yang menarik perhatian, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah, menghilangkan lelah dengan berbaring di rumah sendiri amat mengasyikkan.
Sedang berbaring, telefon kedua yang menggunakan nombor pendaftaran dari Malaysia berbunyi, pesanan ringkas yang baru tiba dari nombor yang tidak aku kenali, aku membuka dan membacanya, tetapi jauh di sudut hati aku berasa pelik, adalah pesanan ini tersilap dihantar ke nombor ini?
Takziah diucapkan di atas pemergian papamu, semoga tabah menghadapinya
Aku terdiam sejenak, berfikir sendiri, pesanan ini untuk siapa? tidak terdetik pada ketika itu bahawa ayahanda ku telah meninggalkan ku buat selama-lamanya, beberapa ketika kemudian, aku mencapai gagang telefon, pantas jemari ini mendail sambungan talian antarabangsa ke rumah di kampung, jantung berdegup kencang mengalahkan pemain-pemain ragbi yang bertungkus lumus di padang, aku berdebar-debar. Panggilan telefonku di jawab oleh jiranku, dia pun menceritakan kisah sebenar, aku jadi tidak keruan, tangisan mengalir tanpa henti, aku sudah tidak mampu untuk mengawal perasaanku, dunia seperti sudah berakhir, ayahandaku sudah kembali menemui Penciptanya. Aku nekad, “aku perlu pulang ke tanahair!”.
Namun aku tidak mempunyai cukup wang untuk membeli tiket pulang, apa harus aku lakukan? Ketika itu, rakan rumahku semuanya tidak pulang lagi, aku berhempas pulas mengawal perasaan bersendirian di rumah, hampir gila dibuatnya disebabkan berita yang ku terima tanpa sengaja. Aku sudah tidak ada jalan lain, wang perlu dipinjam dari rakan-rakan, bagaimana untuk membayarnya akan diusahakan kelak, aku terdesak. Petang itu juga aku meminta bantuan seorang sahabatku untuk menempahkan penerbangan paling cepat yang ada, namun memang bukan nasibku, penerbangan paling awal ke tanahair hanya pada keesokan harinya, aku pasrah. Namun aku mesti pulang ke tanahair, aku tidak boleh membiarkan keluargaku menghadapi keadaan ini sendirian, sokongan moral perlu aku berikan.
Penerbangan selama lebih 12 jam itu sememangnya membebankan, aku gelisah, perasaan bercampur baur, air mata ini mengalir tanpa di suruh tatkala aku teringat arwah ayahanda ku, sudah enam bulan aku tidak bertemu dengannya, sekadar tiga hari yang lalu berbual melalui telefon. Ketibaan di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur dengan perasaan hambar, aku hanya bersalam dengan abangku tanpa sebarang bicara panjang, perjalanan pulang ke kampung dihiasi perasaan sedih dan hiba, aku tidak dapat menahan sebak di dada sedang abangku bercerita. Arwah sudah selamat dikebumikan semalam, sememangnya aku sedar akan perkara itu, tetapi terlalu sukar untuk menerimanya. Namun sebak itu hanya sepanjang perjalanan, aku perlu lebih kuat, tangisan ini perlu diselindung, bukan untuk menjadi hipokrit, tetapi emak, akak dan adik perempuanku memerlukan sokongan moral dariku, hanya itu yang bermain di fikiran.
Bahuku disentuh lembut, aku tersedar dari lamunan perasaan sebentar tadi, aku berpaling dan kelihatan riak wajah yang sudah tidak asing di dalam hidup ini, perkongsian hidup bersamanya sememangnya memberikan seribu satu kesejahteraan. Aku bersyukur sendiri, sambil memimpin tangannya, aku meneruskan langkah menikmati pantai yang begitu indah di pagi hari, kelihatan seperti permata yang berselerak luas, apabila pasir dan batu-batu indah itu disirami sinaran mentari pagi yang terang itu. Begitu banyak perkara yang telah berlaku, tanpa sedar, air mataku mengalir terkenangkan peristiwa itu, aku begitu merinduinya.