Bacaan Yasin 7 Mubin

Bacaan Yasin 7 Mubin

Assalamualaikum dan selamat hari ahad semua,

sejak mok masuk hospital tempoh hari, aku baru belajar satu jenis bacaan Yasin yang dinamakan Bacaan Yasin 7 Mubin. Sebelum ini memang aku tidak pernah mengetahui bacaan ini, bacaan yang telah dipelajari oleh bapa mertua aku daripada seorang ustaz semasa beliau menghadiri majlis bacaan yasin di sebuah kampung suatu ketika dahulu. Bacaan ini biasanya diamalkan untuk menyembuhkan penyakit. Itu apa yang aku dengar daripada bapa mertua aku.

Dalam surah Yasin, terdapat 7 ayat yang diakhiri dengan perkataan mubin. Bacaan 7 mubin ini adalah merujuk kepada 7 ayat ini, setiap ayat yang berakhir dengan perkataan mubin ini adalah untuk dijadikan panduan ulangan.

  • Membaca Surah Yaasin, apabila sampai pada perkataan Mubin yang pertama (iaitu diakhir ayat 12), kemudian ulang semula bacaan Yasin daripada mula.
  • Pusingan kedua, apabila sampai mubin yang pertama, teruskan bacaan sehingga sampai mubin yang kedua (iaitu diakhir ayat 17). kemudian ulang semula bacaan Yasin daripada mula.
  • Pusingan ketiga, teruskan bacaan sehingga sampai ke mubin yang ketiga (iaitu diakhir ayat 24). Kemudian patah balik membaca Yasin daripada mula.
  • Pusingan keempat, teruskan bacaan sehingga sampai ke mubin yang keempat (iaitu diakhir ayat 47). Kemudian patah balik membaca Yasin daripada mula.
  • Pusingan kelima, teruskan bacaan sehingga sampai ke mubin yang kelima (iaitu diakhir ayat 60). Kemudian patah balik membaca Yasin daripada mula.
  • Pusingan keenam, teruskan bacaan sehingga sampai ke mubin yang keenam (iaitu diakhir ayat 69). Kemudian patah balik membaca Yasin daripada mula.
  • Pusingan ketujuh, teruskan bacaan sehingga sampai ke mubin yang ketujuh (iaitu diakhir ayat 77). Kemudian patah balik membaca Yasin daripada mula, dan teruskan bacaan sehingga ayat terakhir Surah Yasin.

Seeloknya bacaan 7 mubin ini dilakukan selepas solat hajat 2 rakaat, berdoalah pada awal dan akhir bacaan yasin 7 mubin ini, memohon disembuhkan penyakit atau tujuan lain. Bacaan 7 mubin ini bagus jika dilakukan secara berkumpulan, untuk mengelakkan kita hilang fokus dengan bacaan yang telah kita lakukan. Jika anda ada info lebih mengenai bacaan yasin 7 mubin ini, bolehlah berkongsi di ruangan komen.


#Kemaskini 21 april 2013


Setelah merujuk dengan Ustaz Effendi, amalan bacaan yasin 7 mubin ini tidak dianjurkan terutama apabila perlu membaca doa-doa tertentu. Saya mohon maaf sekiranya ada kesilapan sebelum ini, semua yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk daripada kelemahan dan kekurangan ilmu saya sendiri.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
20 November 2011 09:13
19 komen

Batasan dalam kehidupan

Batasan dalam kehidupan

Assalamualaikum dan selamat hari ahad kepada semua,

pagi ni cuaca cerah dan suasana begitu nyaman sekali, semoga cuaca ini kekal begini sehingga malam hari, agar sesiapa yang akan melangsungkan majlis kenduri harini boleh menghadapinya dengan lebih mudah. Harini aku tiada jemputan yang perlu dihadiri, tetapi banyak perkara yang perlu diuruskan, semoga segala urusan hari ini akan berjalan dengan lancar. Sejak dua menjak ini banyak isu-isu hangat yang menjadi bualan, gurauan dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan perkara-perkara hangat tersebut.


Seperti biasa, apabila ada isu-isu hangat seperti ini, ramai yang akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan kontroversi mahupun mengambil peluang untuk kepentingan diri masing-masing, dalam apa jua perkara yang sedang dilakukan. Tidak kurang juga yang gemar untuk mempersendakan isu-isu hangat ini sehinggakan lupa pegangan dan ajaran yang telah diterapkan sejak kita kecil lagi. Setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini perlu ada batasan, tidak kira sama ada di alam maya mahupun kehidupan duniawi. Seandainya kita lupa akan batasan tersebut, dengan mudah kita akan mulai mempersenda pelbagai perkara tanpa sedar sebenarnya apa yang kita lakukan itu lebih daripada sekadar sendaan.

Ramai yang suka menyebut, kenapa mesti terlalu sensitif? aku ingin menjawab soalan itu dengan soalan juga, kenapa tidak?

Hidup ini seandainya tiada batasan, pasti akan mendatangkan huru-hara, seandainya semua perkara ingin dijadikan gurauan dan sendaan, bilakah kita akan berbincang dengan sungguh-sungguh? Kita terlalu mudah mempertikai setiap isu tanpa memikirkan sama ada apa yang kita pertikaikan itu tidak mengganggu kehidupan kita, yang pastinya bukan sekadar kehidupan fizikal semata-mata. Seandainya ilmu kita tidak cukup di dada, usahlah mempersendakan apa-apa isu hanya kerana kita rasa isu itu lucu. Walaupun kita memang gemar berseloroh, tetapi perlu ditetapkan batasannya. Janganlah kerana ingin menunjukkan diri itu pandai, sehinggakan menampakkan betapa tidak cerdik kita menghadapi sesuatu isu itu.

Aku menulis ini sekadar berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan yang mungkin akan membaca artikel ini, aku menulis secara umum, tidak menuding jari kepada sesiapa, seandainya penulisan ini mengguris perasaan sesiapa, aku mohon maaf, tetapi pesanan ini aku tulis kerana khuatir, perbuatan sesetengah pihak itu, akan memesongkan akidah mereka. Janganlah disebabkan kita rasa kita serba tahu dalam apa jua perkara, kita lupa bahawa kita hanyalah seorang insan yang lemah dan tidak lari daripada melakukan kesilapan. Jangan disebabkan populariti di dunia ini, kita lupa akan bekalan yang perlu kita bawa ke akhirat. Setiap perbuatan yang kita lakukan akan dinilai, termasuklah apa yang kita tulis atau lakukan di alam maya ini, jangan guna alasan berseloroh untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh ajaran agama kita.

Semoga kita semua menjadi pengguna dan penulis yang bijak di alam maya ini, selamat berehat dan bercuti bersama keluarga.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
29 May 2011 08:12
9 komen

Baullakeh – Nak bagitahu ni!

Baullakeh – Nak bagitahu ni!

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

harini memang agak sibuk mengejar dateline yang sudah semakin hampir, tapi dalam masa yang sama, otak ini perlukan rehat dengan melakukan perkara lain untuk seketika, mengambil peluang untuk berehat dengan menulis artikel di blog (rehat ke?), tapi itulah kenyataan, apabila penat melakukan sesuatu perkara yang sama, berubah melakukan perkara yang lain akan memberikan kita kemudahan untuk menyegarkan akal fikiran, walaupun apabila sudah terlalu penat, kita masih perlu berehat.

Artikel kali ini sekadar ingin berkongsi sebuah blog yang bercirikan islam, aku tertarik dengan namanya, Baullakeh, yang membawa erti “Nak Bagitau ni!”, sedikit petikan dari laman web tersebut.

Sejarah sebelum timbulnya laman ini berlaku pada 2008, apabila pengasas ingin membina laman web bercirikan Islam yang mampu menjadi rujukan serta panduan kepada pengguna internet. Angan-angan itu hilang apabila seorang diri.

Kini, idea timbul setelah seorang rakan membina blog dan menggunakan nama yang bercirikan Mesir, iaitu perkataan ‘baullakeh‘. Perkataan digunakan untuk permulaan sembang yang bermaksud “Nak Bagitau ni!“. Jadi, admin memberi pandangan kenapa tidak kita tubuhkan satu laman web yang boleh memberi manfaat kepada Umat Islam.

Nak Bagitau ni! menjadi tagline laman kami. Walaupun tagline ini bercirikan bahasa baku, kami tidak menghalang loghat lain untuk turut serta.

Kedah – Nak Habaq Ni! / Perak – Nak Ngabo Ni! / Kelantan – Nak Oyak Ni!. Jika ada loghat negeri lain yang bersesuaian sila hubungi kami.


Blog yang dibangunkan oleh beberapa orang pelajar ini menyampaikan pelbagai bahan ilmiah untuk dijadikan sumber rujukan, setakat ini, artikel yang ditulis menjurus kepada agama Islam, selaras dengan objektif penubuhan Baullakeh ini.

  • Membina jaringan ilmiah dan menjadikan tempat rujukan.
  • Membantu memberi kefahaman agama atas paksi Ahli Sunnah wal Jamaah
  • Mengumpul dan menyebarkan ilmu serta menambahkan penghayatan agama Islam
  • Menyampaikan dakwah melalui penulisan, audio dan video.

Kepada yang masih belum melawat blog ini, anda boleh pergi ke baullakeh.com atau follow mereka di twitter @baullakeh, semoga ini akan dapat memberikan kita bacaan yang baik untuk kesihatan jiwa dan rohani.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
26 May 2011 11:09
15 komen

9 Golongan yang sembahyang

9 Golongan yang sembahyang

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

[dropcap3]N[/dropcap3]ampaknya mesti ramai yang mulai terasa aura kemalasan untuk pergi ke tempat kerja pada esok hari, setelah lama bercuti, memang perasaan itu pastinya tidak lekang dari fikiran, namun kita adalah individu yang mengawal setiap perlakuan dan pemikiran kita, tiada alasan untuk tidak bersemangat, usah disalahkan perkara lain, kerana setiap yang berlaku pastinya berpunca dari reaksi dan gerak geri kita menghadapi setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan. Kali ni sekadar nak berkongsi sebuah artikel yang aku terima melalui email, semoga boleh dijadikan panduan mahupun pedoman untuk diri kita semua.

Golongan 1
[dropcap1]K[/dropcap1]ita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab.Imam Syafi kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan 2
[dropcap1]O[/dropcap1]rang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara resmi atau tak resmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3
[dropcap1]O[/dropcap1]rang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh-kocoh, ada program kenduri, pesta ria, berziarah bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang.Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4
[dropcap1]O[/dropcap1]rang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafasnya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca.Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang,orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5
[dropcap1]G[/dropcap1]olongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6
[dropcap1]G[/dropcap1]olongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai Sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa.Allah belum lagi cinta orang ini.

Golongan 7
[dropcap1]G[/dropcap1]olongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8
[dropcap1]G[/dropcap1]olongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dgn Allah )

Golongan 9
[dropcap1]G[/dropcap1]olongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.

Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim.

Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.

Apabila membaca artikel ini, aku termenung sendiri, di manakah tahapku sekarang, terasa begitu banyak lagi kelemahan di dalam amalan seharian, semoga akan dapat diperbaiki dalam masa terdekat, bersama-samalah kita berusaha demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

ini adalah artikel berjadual.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
03 May 2011 00:30
18 komen

Menggunakan april fools sebagai alasan untuk segalanya?

Menggunakan april fools sebagai alasan untuk segalanya?

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

seperti semua sedia maklum, apabila 1 April kunjung tiba sahaja, semua akan lebih berhati-hati kerana khuatir akan disakat atau dikenakan oleh rakan-rakan. Seringkali ianya dijadikan gurauan, menipu, menyakat dan apa-apa perkataan yang sewaktu dengannya, dan apabila selesai kebiasaannya si penyakat akan menyebut April Fools. Walau apa pun alasan yang digunakan, bagi aku ianya sesuatu yang tidak senonoh untuk dilakukan, kerana perbuatan sebegini bukanlah sesuatu yang baik.

Tidak kurang juga yang mempermainkan hukum agama semasa tarikh ini semata-mata kerana ingin bergurau pada hari 1 April. Kita semua mempunyai akal fikiran yang baik, janganlah salah guna akal fikiran itu sampai menidakkan apa yang telah di ajar dalam agama kita. Aku bukanlah ingin berceramah mengenai ajaran agama islam, tetapi kita sebagai penganutnya, perlulah hormat dengan tidak menjadikannya gurauan sewenang-wenangnya. Setiap gurauan ada batasannya, adakah kerana 1 April ini sudah dijadikan hari untuk melakukan sakatan mahupun gurauan oleh “mereka” nun jauh di sana, kita pun ingin menuruti perbuatan yang sama?

Mungkin ada yang akan berkata, “Alaa, rileks aa brother, gurau jer pun… bukan bebetul…” Setiap perbuatan kita di dunia ini akan dihisab kelak, tidakkah kita takut dan khuatir, gurauan melampau kita itu akan menyusahkan kita kelak? Kegembiraan di dunia ini hanya sementara, janganlah disebabkan amalan April Fools ini kita menjadi seorang yang tidak cerdik untuk memikirkan apa yang baik apa yang tidak baik. Tidak salah jika kita mengikut perkara yang baik, tetapi perkara sebegini bukanlah amalan yang perlu kita ikuti. Cukuplah sekadar menjadi pemerhati, melihat mahupun membaca apa yang terjadi seantero dunia, tidak perlu untuk kita sama-sama melakukannya.

Aku mohon maaf sekiranya penulisan kali ini membangkitkan amarah sesiapa, tetapi aku rasa sedih apabila tiba hari seperti ini, hilang rasa hormat terhadap orang yang lebih tua, semata-mata kerana ingin membuat gurauan April Fools. Hilang sopan santun dan budi bahasa yang selama ini diamalkan, hilang segala-galanya, seperti hari 1 April ini diberikan lesen untuk melakukan apa sahaja tanpa mengira kesan dan akibat yang mungkin akan ditanggung kelak. Berfikirlah, jika anda rasa apa yang aku tulis ini adalah bertentangan dengan pendapat anda, teruskanlah apa yang anda fikir baik, aku sekadar memberi peringatan kepada diri sendiri dan juga rakan-rakan pembaca. Mana yang baik itu datangnya dari Allah, jika ada keburukan aku mohon maaf atas kekurangan diri ini.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
01 April 2011 03:21
13 komen

Pergi tak kembali

Pergi tak kembali

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

semalam aku berjaga sehingga ke pagi kerana ingin menyiapkan satu benda yang penting. Lebih kurang jam 5.30 pagi, aku diberitakan bahawa sepupu ku, Abu Talib, meninggal dunia sebentar tadi. Aku terkesima, tanpa mengetahui sebab kematiannya. Selepas subuh dan bersarapan pagi, aku bersama-sama emak dan kakak, bergegas menuju ke rumah arwah, setibanya di sana, orang kampung sudah ramai berkumpul di rumahnya, dan tidak lama kemudian, lori yang membawa papan dan kayu untuk dibuatkan keranda. Sejujurnya, ini pertama kali aku tiba awal ke rumah orang meninggal dunia, kerana sebelum ni, sama ada aku memang berada terlalu jauh, ataupun apabila sampai, semua persiapan telah selesai.

Pengalaman pertama aku melihat beberapa orang pakcik, bekerjasama membinanya. Segalanya di ukur dan ditandakan dengan teliti, dan sememangnya mereka begitu cekap bekerja, selepas lebih kurang 30 minit, keranda telah selesai dibina dan sedia untuk digunakan. Terima kasih tidak terhingga kepada yang membantu. Arwah meninggal bersendirian semasa tidurnya, abangnya yang sakit tinggal bersama, dan menyedari pemergian adiknya apabila dia tidak sedap hati, dan memeriksa adiknya di bilik. Rupa-rupanya adiknya telah meninggal dunia. Usia arwah adalah 48 tahun, beliau merupakan seorang yang rajin dan baik dengan orang-orang kampung.

Syukur alhamdulillah, segala urusan memandikan, mengkafankan dan mengebumikan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan atau masalah. Arwah selamat di kebumikan pada tengahari semalam sebelum waktu zuhur. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Marilah sama-sama kita sedekahkan al-fatihah kepada arwah.

Menghadirkan diri ke majlis seperti ini memberikan kesan yang mendalam terhadap jiwa dan raga. Ianya mengingatkan kita, bahawa kehidupan ini hanyalah sementara, dan perlulah kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
20 October 2010 10:38
12 komen

Apabila bekas telefon bimbit menjadi sesuatu yang haram!

Apabila bekas telefon bimbit menjadi sesuatu yang haram!

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

harini pelbagai perkara yang menarik berlaku, masalah yang dihadapi pun telah diberikan penyelesaian. Terima kasih aku ucapkan kepada yang membantu, persahabatan yang terjalin sememangnya membuatkan aku terharu. Sekarang perlu meneruskan pekerjaan dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap apa yang sedang dikerjakan. Semalaman tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan pelbagai perkara yang berlaku, semoga hari ini akan dapat melelapkan mata seperti biasa.

Harini tadi aku menemani isteriku untuk membeli bekas telefon bimbitnya, Sony Ericsson Vivaz yang telah aku paparkan dalam artikel terdahulu. Tujuan utama hanya untuk mengelakkan daripada telefon tercalar atau berlaku kerosakan yang ketara. Setiap barang perlu di jaga rapi selagi yang termampu. Setelah melihat di kedai aksesori telefon, bekas yang diingini telah ditemui, bayaran dibuat dan pulang ke rumah. Disebabkan semasa membeli kedai sudah ingin ditutup, segalanya berlaku dengan cepat.

Tiba di rumah, sedang aku memeriksa bekas tersebut untuk memasang telefon ini, kelihatan pada permukaan dalam bekas tersebut yang kelihatan seperti kulit itu, bintik-bintik berangkai tiga selonggok seperti gambar di bawah ini, struktur permukaan kulit babi. Sejak berada di perantauan, memang sudah acapkali melihat permukaan kulit babi ini, kerana di sana memang banyak pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang ini. Tetapi aku tidak menyangka akan menemui perkara yang sama juga di negara tercinta, tambahan pula aku membeli dari kedai yang penjualnya adalah dari bangsa dan agama aku sendiri.

Bekas telefon bimbit berkulit babi

Kulit babi digunakan di bahagian dalam penutup bekas tersebut

Nampaknya akan terpaksa pergi memulangkan semula bekas telefon bimbit ini, memang kecuaian aku juga kerana tidak memeriksa dengan teliti semasa di kedai, aku ingat ia hanyalah bekas yang diperbuat daripada pvc seperti kebanyakan bekas telefon bimbit murah yang lain. Tidak terdetik langsung yang ianya mempunyai struktur kulit di bahagian dalamnya. Walaupun mungkin ramai gemarkan untuk memakai kemasan kulit, tetapi jika kulit babi, siapa yang nak pakai bukan?

Jadi pesanan aku untuk diri sendiri dan kepada semua, jika membeli benda-benda seperti ini, pastikan anda memeriksa terlebih dahulu setiap permukaan, terutama apabila membeli barang-barang kulit. Terlalu banyak sekarang produk-produk yang menggunakan kulit babi, kerana kosnya yang murah. Semoga kita akan menjadi pembeli yang bijak dan peka.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
29 September 2010 23:50
25 komen

Buat renungan kita semua

Buat renungan kita semua

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

harini banyak kajian dan bacaan yang dilakukan sepanjang hari, tidak kurang juga sesi merehatkan mata dengan perkara lain yang tidak melibatkan komputer. Sesuatu yang biasa aku lakukan untuk mengembalikan tenaga untuk bekerja pada minggu yang seterusnya. Semoga hari esok akan kembali bertenaga seperti biasa, semakin hari semakin banyak perkara yang perlu difikirkan. Hari ini juga aku menerima satu email yang menarik isi kandungannya, mungkin cerita ini benar atau rekaan semata-mata, tetapi isi kandungan yang cuba disampaikan itu begitu jelas, dan mungkin kita boleh berfikir sendiri mengenai cerita ini. Ambillah yang baik, dan buangkan yang tidak menyenangkan jika ada, kita semua mempunyai akal fikiran yang baik untuk membuat keputusan tersebut.
Aku Lim dan Islam

AKU, LIM DAN ISLAM

Aku punya seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak. Lim Wei Choon. Sana-sama bersekolah rendah hingga ke peringkat menengah . Selepas SPM. Aku masuk ke Tingkatan 6, manakala Lim dihantar keluarganya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Kenangan sewaktu kanak-kanak hingga ke zaman remaja terlalu banyak yang dikongsi bersama. Setiap kali hariraya menjelang, Lim pasti berkunjung ke rumah ku untuk menikmati dodol arwah ayahku yang amat digemarinya.

kadangkala, jika ada kenduri kendara dirumahku, pasti Lim akan turut serta. Aku jarang ke rumahnya kecuali umtuk beberapa sambutan seperti harijadi dan juga Tahun Baru Cina. Aku takut dengan anjing peliharaan keluarga Lim. Dengan Lim juga aku belajar matematik manakala subjek Bahasa Malaysia sering menjadi rujukannya padaku.

Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi jeram, ponteng sekolah untuk melihat pertandingan ‘breakdance’, semuanya kami kongsi bersama-sama. Apa yang ingin kunyatakan ialah, warna kulit dan perbezaan ugama tidak pernah menjadi penghalang persahabatan kami.

20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja disana. Itu yang kuketahui dari kakaknya. Hubungan ku dengan Lim terputus setelah dia melanjutkan
pelajaran. maklumlah, dizaman kami dulu tiada internet, email atau telefon bimbit, yang ada cuma sesekali menghantar poskad bertanya khabar. Untuk menulis surat kepada lelaki amat malas kami rasakan.

Suatu pagi. Aku bertembung dengan kakak Lim di pasar , kakaknya memberitahu Lim akan pulang ke tanahair. Dan aku amat terkejut dengan berita yang kudengar dari kakaknya. ” He’s name is no more Lim Wei Choon. He’s now Ahmad Zulfakar Lim since 5 years ago. ..Subhanallah! Syukur Alhamdulillah, rakan baikku telah menemui hidayah dari Allah S.W.T. Memang aku tak sabar untuk berjumpa dengannya lebih-lebih lagi setelah menjadi saudara seagama denganku.

Hari yang kutunggu-tunggu telah tiba, dan petang itu aku berkesempatan bertemu dengan Lim dirumahnya. Ada satu keraian istimewa sempena menyambut kepulangannya. Ketika aku tiba, tetamu sudah semakin berkurangan.

….Itulah kalimat pertama dari mulutnya, wajahnya sudah jauh berubah, air mukanya amat redup dan tenang. Aku menjawab salam dan berpelukan dengannya dan kami menangis umpama kekasih yang sudah terlalu lama terpisah.

‘Ini dia olang memang sudah manyak lama kawan, dari kecik ini dua olang”
Ibu Lim menjelaskan pada beberapa orang tetamu yang melihat peristiwa kami berpelukan dan menangis itu. Tetapi aku bukan menangis kerana apa, tetapi kerana amat sebak dan terharu dan sangat bersyukur melihat keislaman rakanku.

Lim mengajak aku duduk dibuaian dihalaman rumahnya untuk berbual-bual. beliau masih fasih berbahasa melayu walau sudah lama berada diperantauan.

Talha, kau kawan baik aku kan? betul tak?…

Memanglah..Kenapa kau tanya macam tu?

kalau kau kawan baik aku, Kenapa kau biarkan aku diseksa?

Sorry Lim. Aku tak faham..diseksa? What do you mean?

Cuba kau fikir, kita ni kawan dari kecil. Aku ingat lagi, rumah kau tu, is my second house. Tapi, mengapalah kau tak pernah ceritakan pada aku tentang Islam? Mengapa aku kena pergi ke US baru aku dapat belajar tentang Islam? Mengapa bukan di Malaysia, negara Islam ni? Dan mengapa aku di Islam kan oleh seorang bekas paderi kristian?

Aku terdiam, kelu tak mampu menjawab. Dan Lim terus berkata-kata.

Kalau betullah kau kawan baik aku, Kenapa kau cuma nak baik dengan aku di dunia saja? kau suka tengok kawan baik kau ni diseksa didalam api neraka?

Kau tahu, kalaulah aku ni tak sempat masuk islam hingga aku mati. Aku akan dakwa semua orang melayu Islam dalam kampung kita ni sebab tak sampaikan dakwah dan risalah Islam pada aku, keluarga aku dan non muslim yang lain.

Kau sedar tak, kau dah diberikan nikmat besar oleh Allah denagn melahirkan kau didalam keluarga Islam. tapi, nikmat itu bukan untuk kau nikmati seorang diri, atau untuk keluarga kau sendiri, kau dilahirkan dalam Islam adalah kerana ditugaskan untuk sampaikan Islam pada orang-orang yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam macam aku.

Aku masih tunduk dan terkata apa-apa kerana sangat malu.

Berdakwah adalah tugas muslim yang paling utama, sebagai pewaris Nabi, penyambung Risalah. Tetapi apa yang aku lihat, orang melayu ni tidak ada roh jihad, tak ada keinginan untuk berdakwah, macamana Allah nak tolong bangsa melayu kalau bangsa tu sendiri tak tolong agama Allah?

Aku bukan nak banggakan diri aku, cuma aku kesal..sepatutnya nikmat ini kau kena gunakan dengan betul dan tepat, kerana selagi kau belum pernah berdakwah, jangan kau fikir kau sudah bersyukur pada Allah. Dan satu lagi, jangan dengan mudah kau cop orang-orang bukan Islam itu sebagai kafir kerana kafir itu bererti ingkar. Kalau kau dah sampaikan seruan dengan betul, kemudian mereka ingkar dan berpaling, barulah kau boleh panggil kafir.

Aku menjadi amat malu, kerana segala apa yang dikatakan oleh Lim adalah benar! dan aku tak pernah pun terfikir selama ini. Aku hanya sibuk untuk memperbaiki amalan diri sehingga lupa pada tugasku yang sebenar. Baru aku faham, andainya tugas berdakwah ini telak dilaksanakan, Allah akan memberikan lagi pertolongan, bantuan dan kekuatan serta mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat sesorang itu.

Petang itu aku pulang dengan satu semangat baru. Aku ingin berdakwah! Lim yang baru memeluk Islam selama 5 tahun itu pun telah mengislamkan lebih 20 orang termasuk adiknya. Mengapa aku yang hampir 40 tahun Islam ini (benarkah aku islam tulen) tidak pernah hatta walau seorang pun orang bukan Islam yang pernah kusampaikan dengan serious tentang kebenaran Islam?

Semoga Allah mengampuni diriku yang tidak faham apa itu erti nikmat dilahirkan sebagai Islam.

Semoga kita akan dapat mengambil cerita ini sebagai suatu nasihat yang baik dan dijadikan teladan.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
26 September 2010 21:36
16 komen

IP Man bukan sekadar cerita

IP Man bukan sekadar cerita

Assalamualaikum dan salam hujung minggu kepada semua,

sudah lama aku tidak menulis apa-apa berkenaan movie atau filem di pasaran, sebab utama kenapa ianya sedemikian, kerana aku tidak mempunyai masa untuk menonton filem-filem tersebut, terlalu banyak perkara lain yang lebih penting untuk dilaksanakan dalam masa 24jam yang aku ada seharian. Namun begitu, beberapa hari lepas aku berkesempatan untuk menonton IP Man, dari IP Man 1, terus ke IP Man 2. Butiran lanjut mengenai IP Man ini boleh di baca di IMDB Ip Man.

IP Man bukan sekadar cerita

Filem ini bagi aku bukan sekadar untuk menunjukkan kehebatan sifu kepada bruce lee ini dalam bidang kung fu beliau, tetapi jika kita hayati, lebih daripada itu yang kita boleh pelajari dan teladani. Pegangan kuat Yip Man ini terhadap bangsanya begitu terserlah semasa beliau berlawan dengan general Jepun tersebut, dan disambung pula dengan perlawanan dengan peninju yang merupakan orang Inggeris. Disebalik perlawanan tersebut, terdapat beberapa babak yang menunjukkan beliau berkungfu atau berlawan bukan semata-mata kerana kekuatan, tetapi disebalik itu, dia membawa budaya dan seni yang diamalkan oleh bangsanya.

Bagi aku, menonton cerita ini dan jika dikaitkan dengan agama, bangsa dan negara kita pasti akan memberikan sesuatu yang bagus untuk dicontohi. Semangat cintakan bangsa, agama bahkan negara ini semakin pudar di kalangan masyarakat, ramai yang mengambil langkah untuk duduk berdiam diri, dan jika ada yang bersemangat, lebih kepada semangat politik atau minat kepada sesetengah kumpulan. Terlalu menyokong sesuatu perkara sehingga lupa, semangat untuk cintakan sesama agama dan bangsa. Aku pernah berkongsi mengenai Apabila peminat terlalu taksub dan fanatik?, artikel yang aku tulis bukanlah untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi sedih apabila bangsaku sudah terlalu taksub, sehingga lupa yang kita hidup ini perlu saling hormat-menghormati.

Aku minta maaf jika penulisan kali ini membuatkan ada yang tidak selesa, tetapi ini adalah kenyataan yang kita perlu sedar, sampaikan untuk bersolat dibawah satu masjid pun sudah menjadi isu hanya disebabkan fahaman politik yang berlainan, bagaimanakah kita ingin meningkatkan nilai agama Islam itu sendiri? bukan aku hendak memuji orang lain, tetapi terlau banyak kisah yang aku baca, dengar, lihat yang menunjukkan sikap masyarakat seagamaku yang telah diselubungi dengan sikap ego dan tinggi diri, sehingga dengan senang lenang mencemuh orang lain, dengan alasan dia adalah seorang yang patuh ajaran islam. Jika benar, adakah dalam ajaran islam membenarkan kita untuk mencemuh orang lain? Bahkan disuruh untuk menyimpan keaiban tersebut.

Aku bukanlah seorang yang bijak pandai dalam bidang agama, tetapi jika perkara paling asas pun sudah tidak dipraktikkan, adakah yang lebih lanjut akan boleh dipraktikkan dengan sempurna. Semoga perkara seperti ini tidak akan berleluasa, mungkin kita boleh mengambil contoh filem IP Man ini, bagaimana walaupun pada awalnya mereka bertelagah, tetapi tiba satu masa mereka bersatu padu semata-mata kerana ingin memartabatkan bangsa mereka. Jika anda belum menonton, bolehlah menontoh filem ini, jangan ambil yang negatif, ambil yang positif sahaja, kerana setiap perkara itu pasti ada negatif dan positifnya, kita yang menentukan sama ada ingin mengambil yang positif atau pun sebaliknya.

Sedih apabila masjid pun dijadikan tempat untuk bertelagah.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
18 September 2010 08:56
12 komen