Apabila gajah menghiasi bahu jalan…
Assalamualaikum dan selamat malam semua,
dah lama rasanya tak menulis di sini, seperti biasa, apabila aku tidak menulis, kebiasaannya sebab sibuk dengan pelbagai urusan, bukannya disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan. Syukur alhamdulillah masih dikurniakan kesihatan untuk meneruskan hidup di dunia ini.
Malam selasa yang lalu, aku menaiki bas shamisha untuk ke Changloon, Kedah, perjalanan bermula jam 9.30 malam, walaupun bas tersebut berhenti di beberapa tempat sebelum memulakan perjalanan yang sebenarnya. Jika dari kota bharu hendak ke kedah, pastinya laluan Gerik akan digunakan. Sudah beberapa kali juga aku menggunakan jalan ini semasa perlu berulang alik ke pulau pinang dan perak sekitar tahun 2010. Kadangkala melalui jalan tersebut ketika tengah malam, ada juga ketika sesubuh pagi.
Sepanjang pengalaman memandu di jalan Gerik ini, aku tidak pernah terserempak dengan kumpulan Gajah yang kebiasaannya akan berada di bahu jalanraya. Kali ini, perjalanan menggunakan bas memberi peluang untuk aku bertemu dengan Gajah-gajah liar yang berlegar-legar dan berehat di bahu jalan. Terdapat pelbagai saiz dari yang kecil hinggalah yang besar. Aku seperti seorang kanak-kanak yang tidak pernah melihat gajah, memanjangkan leher di tingkap untuk mendapatkan pandangan yang jelas.
Ianya memang pengalaman yang menyeronokkan, kerana selama ini hanya melihat gajah di Zoo, namun kali ini berpeluang untuk melihat gajah liar yang berada di jalanan. Jika bersendirian mungkin agak menakutkan kerana khuatir gajah itu akan menyerang kita. Namun berada dalam bas dua tingkat memberi peluang untuk menikmati pemandangan mereka bergerak secara kumpulan dengan agak jelas.
Tiada gambar yang sempat aku ambil kerana keadaan yang agak gelap kerana laluan Gerik ini adalah laluan berhutan. Jika anda biasa melalui jalan Gerik ini di waktu malam, pasti ada yang pernah terserempak dengan kumpulan gajah ini. Semoga sama-sama kita berhati-hati apabila memandu di laluan ini di waktu malam, kerana khuatir akan terlanggar gajah-gajah yang berlegar-legar di bahu jalan.