Cabaran bekerja sendirian di rumah
Assalamualaikum dan selamat malam semua,
sudah beberapa hari tidak berkesempatan untuk menulis apa-apa di ruangan ini, seperti biasa, apabila tidak menulis, pastinya sibuk dengan perkara lain ataupun pulang bercuti di kampung. Sudah lebih separuh perjalanan kita dalam bulan baik, bulan ramadan ini, semoga menjelang penghujung bulan ini, kita perbanyakkan amal ibadah kita agar diterima olehNya.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai perkara yang terjadi yang mengganggu momentum aku dalam mengaturcara beberapa projek yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat. Perkara ini seringkali terjadi apabila perkara yang tidak dijangka tiba-tiba terjadi. Kita hanya mampu merancang, Allah juga yang menentukan semuanya. Bekerja sendirian di rumah banyak kelebihannya, namun dalam masa yang sama, banyak juga cabaran yang perlu dihadapi, terutama apabila terdapat perkara atau kejadian yang mengganggu mental dan emosi kita.
Sekiranya bekerja dalam pejabat yang mempunyai ramai orang, walaupun kadangkala ada perkara negatif, namun dalam keadaan kita memerlukan rakan untuk bercerita atau berbincang masalah yang kita sedang hadapi, perbincangan itu akan boleh dilakukan dalam keadaan yang kedua-dua pihak apa yang sedang dibincangkan. Berbeza pula apabila kita bekerja sendirian di rumah, tiada rakan-rakan atau sahabat sekerja yang boleh diajak berbincang mengenai masalah yang sedang dihadapi. Jika adapun rakan-rakan atas talian, kita hanya boleh bercerita secara umum, kerana mereka tidak mengalami perkara sebenar yang kita sedang hadapi.
Acapkali sekiranya gangguan sebegini hadir dalam pekerjaan, aku akan cuba alih gangguan itu dengan perkara yang lain, namun beberapa minggu ini, gangguan datang bersilih ganti, selesai yang satu, hadir pula yang seterusnya. Aku bukan mengeluh, namun sekadar bercerita agar sesiapa yang ingin memulakan pekerjaan sendiri di rumah, boleh mengambil pengalaman yang dikongsi ini sebagai salah satu perkara yang perlu dihadapi kelak. Walaupun ramai yang seringkali berkata, seronoklah kerja sendiri, boleh kerja dan cuti mengikut waktu sendiri. Dalam satu sudut, memang benar apa yang dikatakan, namun kebiasaannya, anda akan bekerja lebih masa daripada waktu bekerja seperti di firma-firma berkaitan. Disebabkan ke”bebas”an yang anda miliki, anda cenderung untuk melakukan kerja lebih masa kerana anda akan dapat melihat hasilnya di pengakhiran kerja tersebut.
Semoga gangguan dan penghalang yang mendatang ini akan memberikan aku semangat baru untuk melangkah lebih jauh lagi, mungkin sudah tiba masanya untuk memanjat lebih tinggi agar gangguan seperti ini akan dapat diatasi tanpa mengganggu momentum pengaturcaraan sistem dan laman sesawang oleh aku. Perjalanan tahun 2012 setakat ini memang lancar sehingga beberapa bulan kebelakangan ini, aku masih cuba untuk membetulkan perjalanan agar berada kembali di landasan asal dan kelajuan yang dirancang pada awal tahun lalu. Mohon rakan-rakan mendoakan antara satu sama lain agar semua yang kita citakan akan berjaya dikecapi. Wallahualam.