Assalamualaikum dan selamat hari jumaat semua,
harini merupakan hari terakhir untuk aku membuat ulasan mengenai BlackBerry Torch yang telah dipinjamkan oleh Maxis untuk program #Maxis10 Reviewers Programme. Aku akan berkongsi beberapa perkara yang akan memudahkan kehidupan anda jika anda menggunakan BlackBerry Torch, dan juga perkara yang akan menyusahkan hidup anda jika anda menggunakan BlackBerry Torch. Semua yang aku kongsikan di sini adalah dari pengalaman sepanjang hampir dua minggu menggunakan BlackBerry Torch dalam kehidupan harian. Setiap individu mungkin mempunyai pengalaman yang berbeza. Sekadar ingin berkongsi kepada semua, mungkin boleh dijadikan panduan untuk membeli telefon ini ataupun tidak.
BlackBerry memudahkan kehidupan
Case study #1 – Ahli perniagaan.
Jika anda seorang ahli perniagaan (aku juga berniaga dengan hidup sebagai seorang pengaturcara bebas) dan sedang berada di dalam satu konvensyen atau sesi dialog bersama ramai lagi ahli-ahli perniagaan yang lain, dan dalam masa yang sama, anda perlu menguruskan perniagaan anda melalui email contohnya. BlackBerry ini memudahkan anda untuk menguruskan email-email anda menerusi fungsi BlackBerry push email. Pasti ramai yang akan berkata, telefon lain juga mempunyai fungsi untuk membaca email, yup, betul tuh, tetapi dengan BlackBerry Torch, kerana terdapat skrin yang besar dan papan kekunci tambahan apabila anda slide telefon ini, ianya memberikan anda kemudahan untuk menulis atau membalas email.
Dan setakat ini, jika aku bandingkan penerimaan email dari BlackBerry Torch dan juga thunderbird pada komputer aku, BB akan menerima email terlebih dahulu sebelum thunderbird. Servis BlackBerry ini memang perlu diberi pujian untuk ini. Kemudian aplikasi seperti Word To Go, Sheet To Go, Slideshow To Go, memudahkan untuk anda menulis dokumen atau perlu membuat jadual seperti pada excel sheet, tidak kurang juga untuk membuat slideshow. Seperti contoh, file slideshow akan di simpan sebagai .ppt ini memudahkan untuk kita menggunakan slideshow itu di atas komputer setelah slideshow selesai digunakan.
Fungsi calendar yang boleh di sync dengan pelbagai calendar lain juga memudahkan untuk anda menguruskan temu janji dan sebagainya. Seorang ahli perniagaan pasti memerlukan aplikasi seperti ini untuk memudahkan kerja.
Case study #2 – Blogger.
Untuk seorang blogger, tempoh hari aku ada berkongsi panjang lebar mengenai aplikasi WordPress for BlackBerry, jika anda ketinggalan untuk membaca artikel tersebut, sila ke Blogger dan BlackBerry Torch untuk membaca terlebih dahulu artikel itu. Selain itu, selaku blogger, anda juga pasti menggunakan pelbagai aplikasi yang melibatkan rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain. Aplikasi seperti facebook dan twitter ini telah siap terpasang pada BlackBerry Torch ini dan anda boleh menggunakannya melalui WiFi atau mobile network. Terdapat juga pelbagai aplikasi Instant Messanging yang telah siap sedia di dalam BB Torch ini, antaranya seperti Windows Live Messenger, Yahoo! Messenger, Google Talk dan AOL Instant Messenger. Tidak kurang juga aplikasi tambahan yang boleh anda pasang ke dalam BlackBerry anda seperti aplikasi Whatapps yang turut digunakan oleh Rara salah seorang reviewer BBTorch juga.
Case study #3 – Pelajar/Pekerja/Lain-lain.
Untuk kategori ini pula, BlackBerry boleh memudahkan kehidupan anda dengan adanya medium perhubungan yang murah, contoh BlackBerry Messenger dan aplikasi-aplikasi lain yang dah disenaraikan di atas untuk berhubung bersama rakan-rakan, kekasih, suami-isteri, ahli keluarga dan sanak saudara. Segalanya berada di hujung jari, tidak perlu menggunakan sms mahupun telefon (walaupun ada sesetengah yang lebih suka bercakap melalui telefon sebab mudah untuk bergossip cerita sesama sendiri).
Aplikasi Maps pula akan membantu anda untuk mengetahui kedudukan anda pada masa itu, aplikasi Maps ini sangat tepat dan terkini, aku kagum melihatnya kerana jika pada Google Maps rumah aku sekarang masih belum ada di dalam map, tetapi dalam aplikasi Maps ini ianya jelas kelihatan bersama lorong-lorong yang lain juga. Ketepatan ini membantu untuk mengenalpasti kawasan sekeliling terutama jika kita berada di tempat yang baru. Bro BryanLyt ada berkongsi mengenai penggunaan Google Maps di dalam BlackBerry beliau, tetapi bagi aku, aplikasi Maps yang sedia terpasang pada BlackBerry ini lebih memudahkan.
BlackBerry menyusahkan kehidupan
Secara umum.
Dalam pada kebaikan yang telah dinyatakan di atas, BlackBerry juga mungkin boleh menyusahkan kehidupan anda. Tetapi bagaimana?
Jangka hayat bateri
Jika anda menggunakan BB ini secara kerap, jangka hayat baterinya sebelum perlu di cas semula adalah sangat singkat. Paling lama ianya boleh bertahan dengan penggunaan yang kerap adalah kira-kira 5 jam sahaja, dan jika penggunaan kerap itu sentiasa menggunakan talian 3G, ianya akan lebih singkat. Ini menyusahkan terutama jika kita berada di tempat yang tidak membolehkan kita menggunakan sebarang sambungan kepada tenaga elektrik, mungkin kita memerlukan bateri tambahan semata-mata untuk dijadikan backup jika perkara sebegini berlaku. Disebabkan bateri ini juga, aku sentiasa membawa charger kemana-mana, jika sebelum ini aku hanya meninggalkan charger di dalam kereta semasa menggunakan Sony Ericsson k770i aku, tapi dengan BB Torch, aku akan membawa charger bersama ku jika aku tahu, aku akan berada jauh dari kenderaan untuk tempoh masa lebih dari 4 jam, kerana jika tidak BB aku akan tidak berfungsi kerana kehabisan bateri.
Berpeluh atau tangan kotor
Jika anda seorang yang bekerja dengan selut atau lumpur, atau mungkin pasir dan benda-benda berdebu, BlackBerry Torch ini mungkin akan mengganggu aktiviti anda, kerana skrin sentuh mahupun papan kekunci fizikalnya agak kurang sesuai untuk anda, dan anda akan sibuk membersihkan telefon anda daripada menggunakannya untuk aktiviti seharian anda. Telefon ini memang kurang sesuai untuk pekerjaan sebegini, kerana jika tangan anda basah contohnya, trackpad ini akan tidak berfungsi dengan baik seperti ketika tangan anda kering.
BB sebagai alat utama
Ia juga akan menyusahkan hidup anda jika anda bergantung 100% terhadap BB anda untuk melakukan aktiviti seharian, kerana kadangkala servis BlackBerry ini akan tergendala atau tiada liputan talian dan WiFi berdekatan. Ini akan menyebabkan anda tidak dapat melakukan apa2 yang telah anda plan sebelum ini. Mungkin perkara ini agak jelas dan tidak perlu dijelaskan, tetapi aku sekadar ingin berkongsi jika anda terfikir untuk menggunakan BB untuk menggantikan peralatan yang yang lain.
Selain itu, terdapat juga beberapa perkara lain yang mungkin akan menyusahkan kehidupan anda, anda boleh membaca artikel dari Liyana mengenai Annoying Part of BBTorch.
Begitulah sedikit sebanyak mengenai bagaimana BlackBerry Torch boleh memudahkan kehidupan anda ataupun memberikan kesan yang berlawanan. Semoga anda dapat memanfaatkan perkongsian kali ini.