Sifat marah dalam kehidupan

Sifat marah dalam kehidupan

Assalamualaikum dan salam hari isnin buat semua,

hujung minggu yang lalu memang sibuk dengan pelbagai urusan dan usaha menyiapkan projek yang sudah menjelang dateline. Memang blog sendiri pun tak terbuka dek kerana kesibukan tersebut, hari ini boleh bernafas lega sedikit, tetapi ada beberapa lagi perkara yang perlu diselesaikan, atau jika tidak, mungkin ada yang akan melenting. Artikel kali ini juga adalah daripada salah seorang penulis jemputan, saudara Mohd Hafizul dari blog Pondok Kecil ingin berkongsi mengenai sifat marah yang seringkali menghiasi kehidupan kita seharian.

Bagaimana blog popular seperti eizil.com mengawal kemarahan

Sekadar gambar hiasan (kredit: quickbase.intuit.com)

Sifat marah adalah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap hambanya. Marah adalah satu luahan perasaan yang diluahkan supaya hati berasa tenang. Marah yang berlebihan boleh membawa kemudaratan kepada diri. Bukan manusia sahaja yang dikurniakan sifat marah. Makhluk lain juga dikurniakan dengan sifat marah. Tidak hairanlah jika haiwan kesayangan seperti kucing yang selama ini manja dan secara tiba-tiba bertukar emosi yang sukar untuk dikawal.

Sekiranya kita lihat dan renung dengan teliti, sifat marah ni boleh mengundang kepada ketidaksenangan dalam hati. Akibatnya perasaan yang dulunya penghibur, kini bertukar menjadi sensitif dan mudah tersinggung. Sekiranya sifat marah tidak dipupuk dan diasuh, lama kelamaan ia akan menjadi racun dalam diri. Bak kata pujangga, duri dalam daging sekiranya tidak dibuang, lama kelamaan akan membengkak dan bernanah. Begitu lah juga dengan sifat marah.

Teringat akan satu kisah yang terjadi dalam hidup saya satu ketika dulu. Sekiranya kini saya berada pada situasi macam tu, insyaAllah saya redha sahaja dengan apa yang berlaku. Namun saya tak salah kan diri saya 100%. Waktu tu darah masih muda dan kurangnya pendedahan untuk mengawal sifat marah ni. Pengalaman yang lepas saya jadikan panduan untuk menempuh hari-hari yang mendatang.

Sekarang saya dah mempunyai anak dan saya tak nak sejarah macam saya alami dulu terjadi pula pada kehidupan anak saya. Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak dikuasai oleh sifat marah yang melampau. Ibu bapa mana yang sanggup melihat dirinya ditengking dan dihina oleh anak sendiri. InsyaAllah selagi hayat dikandung badan, saya akan menjadi seorang ayah baik dan mendidik anak menjadi anak yang soleh.

Kawalan perasaan marah penting demi kesejahteraan keluarga

Sekadar gambar hiasan (kredit: england-today-gallery)

Saya bersyukur kerana sekarang ini banyak sumber percuma yang saya perolehi untuk dipelajari berhubung dengan masalah mengawal perasaan marah. Dan sumber yang saya perolehi itu saya adaptasikan dalam kehidupan seharian. Ternyata setakat ini apa yang saya rasa, perubahan yang saya alami, Alhamdulillah. Hati semakin hari semakin tenang walaupun seminggu sekali ujian datang menguji. Dari apa yang telah saya lakukan untuk mengawal sifat marah ni, saya kaji dahulu punca yang boleh membuat diri saya marah. Daripada punca yang saya perolehi itulah perlahan-lahan saya buang dan saya gantikan dengan perkara-perkara yang posifif.

Punca yang utama yang boleh membuat saya marah adalah sifat hasad dengki dan irihati. Memang saya akui, dengki dan irihati memang dah lama dalam diri saya. Mungkin dah sebati. Yang peliknya irihati dan dengki tu bukan pada perkara yang sepatutnya. Kalau dengki dan irihati pada orang lain, saya tak kisah la kan. Dengan isteri biasanya saya kuat dengki dan iri hati. Kadang-kadang sampai tak bertegur sapa dengan isteri. Paling tak tahan apabila isteri kena pergi kursus. Mula lah jiwa ni tak tenteram. Dalam hati selalu terdetik “ Best la dia dapat pergi jalan-jalan, aku kat rumah ni macam tunggul ”

Sekarang tak ada lagi perasaan macam tu. Alhamdulillah dan semasa entri ni ditulis isteri mugkin dah sampai di Terengganu untuk menghadiri program anjuran Tadika Yayasan Terengganu. Malam ni dan esok saya menjadi mastermama. Entah macam mana nanti. Harapnya anak tu selesa la berada dengan ayahnya. Hehe. Hati dengan senang dan gembira melepaskan isteri pergi.

Di bawah ini saya kongsikan beberapa punca yang boleh mengundang sifat marah dalam diri. Sekiranya tidak dibendung dari sekarang, lama kelamaan sukar untuk dirawat. Antara punca-puncanya adalah :-

a)      Solat lima waktu sering dilupakan
b)      Kurangnya santapan rohani
c)      Ego dan sombong untuk menerima nasihat dan pandangan orang lain
d)      Takjub kepada kelebihan diri sendiri sampai terleka untuk memperbaiki kelemahan diri
e)      Suka membuat fitnah terutamanya pada mereka yang kita benci
f)       Tidak amanah dalam sesuatu perkara
g)      Dengki dan irihati pada perkara yang tidak sepatutnya

Oleh yang demikian, berusahalah memperbaiki segala punca yang bersarang dalam jiwa agar setiap langkah yang disusun dapat diselitkan dengan bunga-bunga keceriaan. Segala punca yang saya nyatakan diatas adalah berpunca daripada pemikiran yang negatif. Senang sahaja untuk membuangnya. Apabila terdetik di hati salah satu punca diatas, cepat-cepat la gantikan dengan perkara yang positif.

Sebagai contoh :-

Isteri – Abang ni saya tengok selama kawin tak pernah lagi tolong saya buat kerja rumah. Sekali sekala, saya nak rasa juga dihargai dengan bantuan abang tu.

Suami – Ehh saya kan suami, itu semua kerja isteri la. Awak jangan pandai nak nasihatkan saya. Saya suami, awak isteri.

Daripada contoh yang diberikan, ternyata kita seorang yang ego dan sombong. Apa salahnya jika kita turutkan sahaja. Bukan susah untuk mencuci pinggan dan bukannya setiap hari kita lakukan kerja macam ni. Untuk kebahagiaan dalam rumah tangga, perkara yang kita anggap remeh-temeh sebenarnya perkara yang paling serius pada pandangan isteri. Jadi, belajar lah untuk membuang sikap ego dan sombong dalam diri kita.

Sabda Rasulullah S.A.W:

Marah itu adalah bara api maka padamkanlah ia dengan berwudhuk. (HR Al-Baihaqi dan sebahagian ulama yang lain menghasankannya) 

Semoga kita akan berjaya mengawal perasaan marah kita dalam kehidupan seharian, jika selama ini kita hanya berusaha untuk menegakkan ego dan sebagainya, cubalah belajar untuk merendahkan diri untuk mengurangkan perasaan marah. InsyaALLAH kehidupan kita akan lebih ceria dan tenang.


Nota kaki: Jika anda ingin menulis di ruangan slot penulis jemputan ini, bolehlah hubungi saya untuk memberikan maklumat lanjut. Eizil juga berbesar hati sekiranya ada yang ingin menjemput eizil untuk menulis di blog rakan-rakan sekalian.


Penulis


Tuan Hafizul menulis di blog Pondok Kecil, beliau aktif dalam mencuba pelbagai benda baru terutama dalam bidang blogging ini.
22 October 2012 13:22
30 komen



Pendapat anda amat dihargai, jom tulis di bawah.