Kuasai teknik percutian harga murah

Kuasai teknik percutian harga murah

Assalamualaikum dan selamat pagi semua,

dalam artikel indahnya berbulan madu ada diselitkan yang aku gemar untuk bercuti dengan bajet yang rendah. Mungkin ramai yang tidak ambil kisah mengenai perkara ini, tetapi aku terpanggil untuk menulis tips-tips tersebut setelah membaca komen yang diberikan dalam entri tersebut. Tujuan aku ingin berkongsi tips-tips ini adalah agar lebih ramai boleh menikmati percutian dalam kehidupan mereka. Kebanyakan tips-tips ini adalah berdasarkan pengalaman aku dan isteri bercuti ke pelbagai tempat dengan sumber kewangan yang sangat sedikit. Jika aku boleh lakukan, aku yakin, ramai rakan-rakan pembaca akan boleh mempraktikkan juga tips-tips ini.

Ukur baju di badan sendiri

Benda yang paling penting, adalah kita perlu sedar kedudukan ekonomi dan kewangan diri kita dan keluarga kita. Ini adalah perkara paling penting sebelum merancang untuk pergi bercuti, terutama bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah seperti aku. Jika kita tidak sedar akan perkara ini, percutian hanya akan menjadi angan-angan yang tidak akan menjadi kenyataan. Kita perlu sedar berapakah kemampuan kita untuk dibelanjakan pergi bercuti.

Merancang percutian berdasarkan kemampuan

Setelah kita tahu berapa banyak wang ringgit yang boleh kita belanjakan untuk percutian, barulah kita boleh merancang destinasi yang kita boleh tujui. Aku ambil contoh kita ketepikan RM200 untuk percutian 2(dua) orang selama 2(dua) malam. Bagi yang sudah biasa bercuti dengan bajet rendah, ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan, tetapi bagi kebanyakan orang, ianya adalah mustahil dan hampir tidak mampu untuk dilakukan. Mengapa mereka berasa sedemikian? Semuanya kerana pengaruh media massa, terpengaruh dengan percutian yang ditonton di kaca televisyen, menginap di hotel-hotel mewah, makan di restoren yang hebat-hebat dan seumpamanya. Jika kita berfikiran sedemikian, pasti RM200 tidak cukup untuk menjadikan percutian kita suatu kenyataan.

Apa yang perlu kita lakukan, dengan RM200 ini, aku boleh menyewa sebuah chalet atau motel yang murah dengan harga sekitar RM60-70 semalam, jadi untuk 2(dua) malam, kos sewaan chalet atau motel aku hanyalah sekitar RM120-140 untuk tempoh percutian 2(dua) malam. Kebiasaannya, apabila kita mempunyai penginapan selama dua malam, tempoh percutian kita di tempat tersebut adalah selama 3(tiga) hari. Harga yang aku kongsi di sini bukanlah sekadar rekaan, ini adalah apa yang aku sendiri alami ketika bercuti disesetengah tempat di sekitar Malaysia.

Dari bajet RM200 tadi, percutian 3 hari 2 malam sudah mampu untuk dialami, dan aku masih mempunyai baki RM60-80 selepas membayar sewa penginapan.

Pilih lokasi yang berdekatan

Satu lagi masalah yang mengekang kita daripada pergi bercuti adalah percutian perlu dilakukan di tempat-tempat peranginan yang popular seperti Pulau Langkawi, Cameron Highland, sekarang ditambah pula dengan Legoland dan pelbagai lagi. Jika kita tinggal jauh dari kawasan ini, sudah tentulah kos untuk pergi bercuti menjadi sangat tinggi. Apa yang perlu kita lakukan, adalah mencari kawasan percutian yang berdekatan dengan kita. Selama aku berjalan-jalan sekitar Malaysia ini, setiap negeri mempunyai tempat tarikan pelancongnya yang tersendiri dan kebanyakan tempat ini mempunyai tempat penginapan yang murah.

Jadi RM60-80 tadi akan aku gunakan untuk mengisi minyak kenderaan, atau membayar tambang bas ke tempat percutian pilihan aku tadi. Kadangkala ada lebihan pula dari RM60-80 tadi, jadi aku boleh gunakan untuk membeli makanan ataupun cenderamata semasa melawat ke kawasan tersebut.

Rancang kewangan anda

Setelah kita selesai membuat perancangan mengenai percutian kita, langkah seterusnya adalah merancang kewangan kita. Ramai yang mengeluh tidak mempunyai kewangan untuk aktiviti seperti ini, walaupun tanpa sedar, sebenarnya mereka mampu untuk bercuti. Contohnya kita telah tahu bajet yang kita perlukan untuk percutian 3 hari 2 malam adalah RM200, dan pendapatan kita adalah RM XX, dan daripada RM XX itu, semuanya sudah ada keperluan setiap bulan, A untuk barang dapur, B untuk bayaran utiliti dan seterusnya. Namun, bila kita amati betul-betul, pasti ada ruangan untuk kita menyimpan sekurang-kurangnya RM5 atau RM10, jika betul tiada, anda boleh sertai program insentif di blog denaihati untuk mendapatkan jumlah RM200 tersebut dengan lebih mudah.

Sekiranya kita menyimpan RM5 sebulan, bermaksud selepas 40 bulan, kita akan mampu membawa pasangan kita untuk pergi bercuti selama 3 hari 2 malam, dan sekiranya kita menyimpan RM10, pastinya tempoh tersebut akan semakin berkurang iaitu hanya 20 bulan. Jadi, sekiranya kita menyimpan RM10 sebulan, kita boleh pergi bercuti setiap 2 tahun sekali dan kepada sesiapa yang ingin bercuti setiap tahun seperti aku, perlu menyimpan sekitar RM20 sebulan.

Tidak perlu bermewah untuk menikmati percutian

Satu lagi perkara yang perlu kita titik-beratkan, percutian tidak semestinya perlu bermewah-mewah, jikalau kita mampu, tidak mengapa, tetapi sekiranya sumber kewangan terhad, kita kembali kepada tips pertama tadi, ukur baju di badan sendiri. Seringkali apabila kita pergi bercuti, kita ingin menikmati hidangan di cafe atau restoren yang terdapat di sekitar tempat peranginan. Walhal kualiti makanan tidaklah sebagus mana. Bagi yang ingin bercuti dengan harga yang murah, anda boleh membawa makanan sendiri, antara barang makanan yang tahan lasak dan lama, adalah seperti rendang daging kering dan serunding.

Namun menu yang paling jimat dan mudah untuk di bawa, adalah mee segera. Ini adalah antara menu yang seringkali menjadi pengiring ke destinasi-destinasi peranginan sepanjang pengalaman aku melawat pelbagai tempat. Namun mee segera aku tidaklah aku biarkan kosong, bekalan masakan daging atau ayam biasanya mengiringi. Biarlah beg berat sekalipun, ianya demi memastikan perut ini tidak kosong dan tenaga yang diperlukan akan diperolehi.


Elakkan menggunakan agensi pelancongan

Tips seterusnya, elakkan daripada menggunakan agensi pelancongan untuk percutian anda (kawan-kawan agensi pelancongan harap jangan marah ya), walaupun ianya mungkin lebih mudah, tetapi kosnya lebih tinggi jika dibandingkan apabila anda merancang sendiri. Namun begitu, jika anda kurang pengalaman, mungkin perancangan yang dilakukan kurang lengkap atau akan mengakibatkan kerugian, jika perlukan bantuan, boleh hubungi aku, jika kebetulan aku tidak terlalu sibuk ketika itu, aku akan bantu untuk rancangkan percutian harga murah anda.

Tiada yang mustahil

Dalam kehidupan ini, semua impian pastinya boleh dijadikan kenyataan, aku dan isteri memang gemar melawat tempat-tempat baru apabila ada kesempatan, dan untuk memastikan aktiviti kami ini boleh dijadikan kenyataan setiap tahun, simpanan dan tabungan untuk percutian juga disediakan. Mungkin ada sesetengah yang akan mengatakan ada perkara lain yang lebih penting, tapi bagi kami, percutian seperti ini juga penting untuk memastikan perhubungan kami suami isteri dalam keadaan yang baik.

Sekali sekala berubah angin memang melegakan, terutama apabila kita saban hari mengharungi tekanan kerja dan pelbagai lagi. Apabila keduanya dapat merehatkan fikiran, bukanlah perhubungan suami isteri juga bertambah baik selepas itu. Aku hanya berkongsi pengalaman aku bercuti, ianya tidak memerlukan kos yang banyak, hanya dengan RM100-200 anda sudah boleh pergi bercuti bersama pasangan. Tips-tips yang aku kongsikan ini mungkin nampak seperti tidak masuk akal, tetapi jika aku dan isteri boleh lakukan, kenapa tidak anda?

Namun, sekiranya anda merasakan kehidupan anda tidak membolehkan anda untuk pergi bercuti, aku mohon maaf sekiranya ada ayat-ayat yang mungkin mengguris perasaan anda. Aku doakan agar semua rakan-rakan pembaca dan blogger akan berjaya mencapai apa jua yang anda impikan. Impian apabila diusahakan akan menjadi kenyataan insyaALLAH.

p/s: Jika memerlukan tips lebih terperinci, sila hubungi aku, sebab ada lagi perincian perkara yang anda boleh lakukan yang tidak mampu untuk aku coretkan buat masa ini.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
25 September 2012 09:38
61 komen



Pendapat anda amat dihargai, jom tulis di bawah.

1 2