Kehijauan bumi malaysia

Kehijauan bumi malaysia

Assalamualaikum dan selamat pagi kepada semua,

Semalam merupakan hari yang mencabar, perjalanan dari kuala lumpur ke kelantan mengambil masa yang lebih panjang dari biasa. Aku sampai hampir tertidur disebabkan masa yang panjang (dan memang aku berhenti tidur untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini). Syukur alhamdulillah, aku selamat sampai ke destinasi. Siri mengejalah Malaysia minggu ini masih belum berakhir, minggu depan terpaksa pergi ke Kuala Lumpur semula untuk menghadiri beberapa perjumpaan.

Apa yang aku ingin kongsikan disini adalah lawatan aku ke Cameron Highlands pada Khamis, minggu lepas. Disebabkan bapa mertua aku ingin mencari baja untuk tanamannya, so peluang diambil untuk berjalan-jalan sekali di sana. Kali terakhir aku menjejakkan kaki ke sana adalah pada waktu kecil, kira-kira umur 5 tahun (kalau aku tak silap). Kami mendaki dari Gua Musang, perjalanan amat selesa, kerana jalanraya untuk menuju ke atas adalah luas dan sangat elok permukaannya. Cuma ada beberapa tempat yang sedang diselenggara disebabkan tanah runtuh dan sebagainya. Setibanya di Lojing, aku merasa agak terganggu dengan keadaan persekitaran yang penuh dengan Jeep dan Truck yang menggunakan enjin diesel disebabkan asap hitam yang keluar dari ekzos mereka. Terdapat banyak pusat tanaman yang sedang dibangunkan di sini.

Permandangan di sini tidaklah seindah mana, kami meneruskan perjalanan dan berhenti di beberapa tempat, seperti taman rama-rama, taman strawberry dan beberapa pusat yang menjual kaktus dan madu. Setelah membeli kaktus dan beberapa cenderamata yang lain, aku masih belum berpuas hati dengan keadaan persekitaran, kerana ianya tidaklah secantik yang aku sangkaan, keadaan yang ramai orang, dan tepi jalanraya yang penuh dengan kedai membuatkan aku rasa rimas. Walaupun terdapat banyak bunga-bunga yang cantik di kedai-kedai tersebut. Kebanyakan pusat kutipan strawberry tidak membuka ladang mereka untuk kutipan sendiri oleh orang ramai, disebabkan waktu cuti sekolah seperti ini, terlalu ramai orang yang datang melawat dan menyukarkan mereka untuk mengawal tanaman mereka.

Kaktus yang terjurai - cantik betul


Strawberry baru nak masak


Kembang mekar

Kami meneruskan perjalanan sehingga tanah rata. Di sini suasana mula bertukar, terdapat bnyk bangunan-bangunan yang menarik dan permandangan yang mula menghijau. Kami berhenti untuk solat dan makan tengahari di sini, sebelum meneruskan perjalanan. Kali ini kami menuruni bukit, tidak lagi mendaki, dan selepas beberapa km, kelihatan ladang teh yang terbentang luas, saujana mata memandang, ladang yang pertama adalah kepunyaan Bharatt, yang telah mula menanam teh di situ sejak 1933 lagi.

Namun destinasi yang kami ingin cari adalah ladang teh Boh, beberapa km selepas itu, kami menemui ladang teh Boh, tetapi malangnya masa lawatan sehingga pukul 4.30 petang sahaja, kami tiba di sana pada jam 4.31 petang. Dalam kehampaan, kami berpatah balik ke ladang Bharatt. Kepada yang rajin, anda boleh turun ke dalam ladang dan berada di celah-celah susunan pohon teh tersebut. Mereka juga menyediakan Coffee House untuk anda menikmati teh segar dari ladang dan pelbagai lagi hidangan lain (tetapi harganya agak mahal, pastikan anda melihat dahulu harga sebelum membuat sebarang tempahan makanan). Terdapat juga kedai di mana anda boleh membeli teh keluaran Bharatt ini, harganya agak murah bagi aku, tanpa berlengah aku beli 2 kotak teh hijau untuk kegunaan aku, dan beberapa teh-teh lain seperti teh berperisa limau, teh earl grey dan teh premium keluaran Bharatt ini.

Ladang teh Bharatt


Tanaman teh di lereng bukit


Menghijau


Setelah turun ke kawasan ladang teh ini, aku berasa kagum dengan pekerja-pekerja yang mengutip daun teh ini. Lokasi penanaman yang berada di lereng bukit sememangnya menyukarkan proses pengutipan daun teh. Aku yang sekadar nak mengambil gambar pun terkial-kial mendaki lereng tersebut yang bagi aku agak curam. Inikan pula perlu membawa bakul dan sebagainya. Satu pekerjaan yang sukar bagi aku, mesti pekerja-pekerja ladang teh ini mempunyai kaki yang kuat, kerana perlu mendaki lereng-lereng bukit tersebut setiap hari.

Kemudian kami pulang. Kesimpulannya, kalau naik dari Gua Musang, Cameron Highlands akan nampak “buruk” sebelum sampai ke kawasan yang lawa. Mungkin kalau naik dari belah sana, kita akan nampak keindahan ladang-ladang teh yang menghijau ini terlebih dahulu, dengan landskap yang menenangkan dan suhu yang dingin.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
22 June 2010 13:11
0 komen