Indahnya islam…

Indahnya islam…

Assalamualaikum dan salam jumaat kepada semua,

harini masih di sintok, Kedah kerana urusan kerja yang masih belum selesai, insyaALLAH esok malam akan pulang semula ke Kota Bharu untuk meneruskan urusan lain seperti biasa. Tengahari tadi kebetulan aku tinggal bersendirian di tempat pelanggan menguruskan kerja yang perlu disiapkan. Apabila tiba tengahari, aku pun bersiap-siap untuk pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat.

Namun jam sudah menunjukkan 1:30 petang, rakan aku yang sepatutnya hadir untuk mengambil aku ke masjid tak kunjung tiba, tiada sesiapa di kawasan tersebut, aku pun mengambil keputusan untuk berjalan kaki walaupun aku memang tidak tahu di mana kedudukan masjid tersebut. Berjalan menuju jalan besar, melilau melihat kelibat orang yang menaiki pelbagai kenderaan ke arah yang berlainan menunjukkan masjid yang mereka tuju.

Aku teruskan perjalanan, kebetulan ada sebuah kereta avanza lalu di sebelah aku, dan dia membuat pusingan U beberapa meter di hadapan aku, dari cermin pemandu, aku nampak seorang lelaki berkupiah. Beliau sudah ke jalan bertentangan dan cuba memecut laju, aku mengangkat tangan melambai, dia sempat menoleh, namun kenderaannya sudah jauh melepasi aku. Syukur alhamdulillah, dia reverse avanzanya mendekati aku, aku pun bertanya lokasi masjid.

Pemandu tersebut yang aku kenali sebagai abang ibrahim itu mengatakan, masjid terletak jauh dari situ, mustahil untuk pergi berjalan kaki, aku pun memohon untuk menumpang kenderaannya. Abang Ibrahim tidak teragak-agak untuk menjemput aku naik untuk bersama-sama menuju masjid untuk solat Jumaat.

Tanpa sebarang soal jawab lanjut, abang itu sanggup menumpangkan aku walaupun aku adalah orang asing baginya. Hanya baru berkenalan beberapa saat, namun disebabkan persaudaraan sesama Islam, semuanya berjalan lancar kerana Abang Ibrahim tahu, tujuan kami berdua adalah sama, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang umat Islam.

Semoga jasa baik Abang Ibrahim akan di balas olehNya, jika tidak, pasti aku akan terlepas untuk menunaikan solat Jumaat. Indahnya kekuasaan Ilahi, selagi mana kita berusaha, Dia akan mempertemukan jalan tanpa kita duga. Sekadar ingin berkongsi pengalaman jumaat pada hari ini yang bagi aku begitu bermakna.


Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
18 May 2012 19:59
16 komen

Apabila gajah menghiasi bahu jalan…

Apabila gajah menghiasi bahu jalan…

Assalamualaikum dan selamat malam semua,


dah lama rasanya tak menulis di sini, seperti biasa, apabila aku tidak menulis, kebiasaannya sebab sibuk dengan pelbagai urusan, bukannya disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan. Syukur alhamdulillah masih dikurniakan kesihatan untuk meneruskan hidup di dunia ini.

Malam selasa yang lalu, aku menaiki bas shamisha untuk ke Changloon, Kedah, perjalanan bermula jam 9.30 malam, walaupun bas tersebut berhenti di beberapa tempat sebelum memulakan perjalanan yang sebenarnya. Jika dari kota bharu hendak ke kedah, pastinya laluan Gerik akan digunakan. Sudah beberapa kali juga aku menggunakan jalan ini semasa perlu berulang alik ke pulau pinang dan perak sekitar tahun 2010. Kadangkala melalui jalan tersebut ketika tengah malam, ada juga ketika sesubuh pagi.

Sepanjang pengalaman memandu di jalan Gerik ini, aku tidak pernah terserempak dengan kumpulan Gajah yang kebiasaannya akan berada di bahu jalanraya. Kali ini, perjalanan menggunakan bas memberi peluang untuk aku bertemu dengan Gajah-gajah liar yang berlegar-legar dan berehat di bahu jalan. Terdapat pelbagai saiz dari yang kecil hinggalah yang besar. Aku seperti seorang kanak-kanak yang tidak pernah melihat gajah, memanjangkan leher di tingkap untuk mendapatkan pandangan yang jelas.

Ianya memang pengalaman yang menyeronokkan, kerana selama ini hanya melihat gajah di Zoo, namun kali ini berpeluang untuk melihat gajah liar yang berada di jalanan. Jika bersendirian mungkin agak menakutkan kerana khuatir gajah itu akan menyerang kita. Namun berada dalam bas dua tingkat memberi peluang untuk menikmati pemandangan mereka bergerak secara kumpulan dengan agak jelas.

Tiada gambar yang sempat aku ambil kerana keadaan yang agak gelap kerana laluan Gerik ini adalah laluan berhutan. Jika anda biasa melalui jalan Gerik ini di waktu malam, pasti ada yang pernah terserempak dengan kumpulan gajah ini. Semoga sama-sama kita berhati-hati apabila memandu di laluan ini di waktu malam, kerana khuatir akan terlanggar gajah-gajah yang berlegar-legar di bahu jalan.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
17 May 2012 21:00
12 komen

Hujung minggu.

Hujung minggu.

Assalamualaikum dan salam hujung minggu,

sudah hampir dua minggu tiada artikel yang dicoretkan di sini, semuanya disebabkan aku perlu menyelesaikan urusan luar untuk sekian ketika, kemudian pulang ke rumah hanya untuk menyelesaikan semua kerja yang tertangguh. Sehingga saat aku sedang menulis ini, masih ada beberapa tugasan yang masih belum sempat untuk diselesaikan. Semoga hujung minggu ini semuanya akan dapat diselesaikan dan kembali dengan tugasan lain seperti biasa.


Walaupun tidak menulis, aku tetap membaca blog rakan-rakan dan melihat pelbagai perkara yang berlaku dalam arena blog tanahair, ada perkara yang memang tak pernah selesai, dan tak kurang juga ada yang menyebabkan ramai yang tak senang duduk. Apapun, sama-samalah kita menghormati antara satu sama lain, jika alam realiti mempunyai pelbagai cabaran, alam maya juga tidak kurang hebatnya cabaran yang perlu kita hadapi. Apabila perkara-perkara yang melibatkan insan bernama manusia, pastinya akan ada benda yang perlu kita uruskan dengan cara yang paling berhemah.

Semoga hujung minggu anda ceria dan bahagia bersama keluarga, sahabat taulan atau dengan sesiapa sekalipun.

Penulis


Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress selain menulis di blog ini. Baca butiran lanjut di ruangan Kenali Eizil
05 May 2012 07:22
13 komen