Assalamualaikum dan salam pertengahan minggu untuk semua,
Harini aku sekadar nak bercerita berkenaan mereka-mereka yang mempunyai kepala batu. Golongan ini mempunyai kepala yang sangat keras, bahkan lebih keras daripada helmet yang terdapat di pasaran. Kenapa aku berkata demikian? Disebabkan amalan mereka menaiki motorsikal tanpa memakai topi keledar. Lebih hebat dari pelumba motorsikal berkuasa besar golongan kepala batu ini. Mungkin ramai yang akan tidak memberikan seribu satu alasan mengapa mereka tidak memakai topi keledar, antaranya
“kawasan kampung jer pun, bukan ada polis“,
“Nak gi kedai jer jap, tak jauh mana pun“,
“tak rempit aa pakai topi keledar”

dan banyak lagi alasan-alasan lain yang diberikan. Aku bukan apa, aku pun penunggang motorsikal juga. Tapi kita kena aa fikirkan orang lain juga, bukan diri sendiri sahaja. Kalau kita tak nak pakai topi keledar, tapi bila kita kena langgar dengan orang lain dan pecah kepala (luka dan sebagainya), janganlah aa time tu mengggelabah nak salahkan orang lain pulak, dah awak tu yang dah keras kepalanya, tak nak pakai topi keledar untuk keselamatan, terima aa habuannya. Aku kadangkala apabila memandu kereta, rasa takut bila penunggang-penunggang motorsikal yang sama laju di atas jalan raya, tanpa sebarang pelindungan, kerana khuatir, seandaikan mereka jatuh berdekatan dengan kereta aku, aku akan dipersalahkan.
Jika anda ingin meneruskan amalan berkepala batu ini, dipersilakan… tapi jangan menyebuk dekat jalanraya besar dimana banyak lagi kenderaan lain yang menggunakan jalan tersebut. Kepala anda kalau dah berkecai digilis lori sudah pasti akan menyedihkan begitu ramai orang. Peringatan “Pandu cermat, ingatlah orang tersayang!” bukanlah sekadar peringatan untuk anda berangan ingatkan orang tersayang semasa memandu dan tidak menumpukan perhatian, tetapi peringatan tersebut untuk meminta anda memandu dengan cermat, cermat di sini bukan sekadar memandu dengan berhati-hati, hormat pengguna jalanraya yang lain, tetapi termasuklah dengan mengamalkan peraturan jalanraya seperti memakai topi keledar untuk yang bermotorsikal atau tali keledar untuk kenderaan seperti kereta.
Peringatan ini bukanlah sekadar untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi aku juga pernah mengalami situasi di mana aku dilanggar kereta dari arah sisi. Sedang aku menunggang di jalan utama, sebuah kereta keluar secara melulu. Walaupun mungkin bukan salah kita, tapi bila kereta itu sudah melanggar kita, sudah tidak guna untuk kita bertekak siapa yang salah, kerana yang patah riuk, cedera parah adalah badan kita. Syukur alhamdulillah, aku memakai segala kelengkapan yang diperlukan. Sekadar retak di tulang pelvis disebabkan hentaman secara terus. Namun kepala yang terhempas ke atas jalan raya diselamatkan oleh topi keledar yang di pakai kemas.

Helmet yang telah menyelamatkan mukaku dari koyak rabak di mamah jalanraya
Sama-samalah kita menjaga kesejahteraan semua orang, kerana atas kecuaian kita, orang lain yang akan mendapat masalah. Kalau rasa nak cari nahas sangat, pergilah menunggang di tempat yang tidak ada orang lain. Di mana? aku pun tak tahu. Semoga perjalanan semua harini tidak ditimpa sebarang kecelakaan.