Mungkin ramai yang sudah menjawab persoalan yang di nyatakan dalam tajuk entri kali ni. Namun biarlah apa pun jawapannya, tujuan saya adalah untuk berkongsi mengenai satu topik menarik yang saya terbaca di dalam blog MasterYus awal pagi tadi. Dalam artikel beliau yang bertajuk Mentaliti yang 100% perlu diubah itu, beliau telah berkongsi mengenai misi yang dipegang oleh buku-buku PTS iaitu untuk memandaikan bangsa. Sehubungan itu, aku terpanggil untuk menulis juga berkenaan topik memandaikan bangsa. Soalan pertama yang aku tanyakan kepada diri sendiri, adakah aku telah cuba untuk memandaikan bangsa sendiri? Agak sukar untuk menjawab persoalan ini, walaupun bengkel atau ceramah telah dibuat, artikel-artikel ditulis, tutorial digarap dan dirakam, namun aku sendiri tidak pasti sama ada ianya telah memandaikan bangsaku sendiri. Mungkin terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai hasrat tersebut, dan semestinya jika aku berjuang seorang diri, aku tidak akan mampu untuk mencapai matlamat tersebut, begitu juga jika PTS berjuang dengan sendiri, mungkin objektif itu agak lambat untuk dicapai.
Namun jika kita semua berganding bahu, dan bekerjasama untuk memandaikan bangsa kita, insyaALLAH tujuan itu akan tercapai. Janganlah kita terlalu mendabik dada dengan ilmu yang sekelumit di dada, kerana semuanya hanyalah pinjaman semata-mata, berkongsilah dengan yang lain, walau dengan apa cara sekalipun, melalui penulisan, percakapan, ceramah, gambar, tayangan, teguran dan bermacam-macam cara yang boleh kita gunakan untuk menyalurkan ilmu tersebut. Memang benar, mungkin ada sesetengahnya memerlukan kita untuk mengeluarkan modal, dan dalam masa yang sama kita berharap akan mendapat sedikit pulangan daripada yang lain, namun janganlah kita terlalu memikirkan berkenaan perkara tersebut, rezeki ALLAH itu luas, ianya datang dari segenap sudut dengan atau tanpa kita sedari. Oleh itu janganlah kita mengutamakan wang lebih dari tujuan untuk menyampaikan ilmu tersebut.
Sekarang ini, ramai yang membuat ceramah, kelas, kursus, bengkel dan sebagainya sebagai proses penyampaian ilmu. Namun begitu, ada juga yang mengambil kesempatan dengan mengenakan yuran yang sangat tinggi, sehinggakan hanya mereka yang kaya yang mampu untuk menyertai majlis ilmu tersebut. Bagaimana pula yang tidak berduit? Adakah mereka tidak layak untuk belajar ilmu tersebut? Persoalan yang sukar di jawab, kerana pasti akan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan apa jua jawapan yang diberikan. Tetapi ada juga pihak-pihak yang bersungguh-sungguh untuk memandaikan bangsanya dengan melakukan kursus percuma semata-mata untuk menyampaikan ilmu dan memajukan bangsanya sendiri. Seperti contoh KEM MOTIVASI USAHAWAN MAHASISWA yang dianjurkan oleh kelab PERMATA di Kolej Kausar, UKM bermula pada hari ini sehingga hari Ahad nanti. Kem yang akan mengajar pesertanya teknik-teknik perniagaan, selok belok perniagaan, pengurusan kewangan dan pelbagai lagi yang menjurus kepada simulasi sebuah perniagaan sepanjang 3 hari KEM dijalankan. Aku tak dapat nak menghadirkan diri kerana ada majlis lain yang terpaksa di kunjungi, sekali lagi terpaksa melepaskan peluang keemasan yang jarang kunjung tiba. Mungkin lain kali. Tetapi ini adalah antara usaha-usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memandaikan bangsa kita.
Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan melakukan perkara yang sama, jika kita tidak mampu untuk memandaikan ramai orang, cukuplah kita memilih seorang dua untuk kita ajar perkara yang kita mahir. Â Aku juga akan cuba untuk melakukan perkara yang sama, walaupun memang sukar untuk memandaikan bangsa secara menyeluruh, tetapi kita akan berjaya jika masing-masing memainkan peranan untuk mencapai tujuan ini.
marilah kita menggalas misi ini ke bahu masing-masing… Sudah tiba masanya untuk kita memajukan bangsa kita, dalam apa jua bidang yang kita ceburi…




Adakah memandaikan bangsa yg dimaksudkan itu dengan cara berkongsi ilmu? Zaman sekarang boleh dikatakan semua ilmu tu mempunyai harga dan perlu dibeli. Bukan tak ada yang percum, mungkin payah nak cari sikit kot. Complicated benda ni kena tengok keadaan jugak.
Jika dalam kontek mengubah mentaliti bangsa benda ni lagi mencabar. Tun Mahathir jadi PM 22 tahun pun masih belum berjaya menukar mentaliti bangsa Melayu itu sendiri. Mencabar itu tak bererti mustahil. Kita berusaha dengan cara kita sendiri dalam perjuangan memajukan diri sendiri, agama, bangsa, dan negara.
ya, salah satu caranya adalah dengan cara berkongsi ilmu, tetapi untuk memandaikan bangsa ini terlalu besar skopnya, jika kita dapat menyumbang sedikit dalam apa jua bidang, pasti akan dapat membantu anak bangsa kita insyaALLAH.